Tsunami Selat Sunda: Sistem amaran baru 'dibina tahun depan'

Astro Awani
Disember 25, 2018 06:09 MYT
Seorang penduduk tempatan melihat kerosakan yang berlaku susulan kejadian tsunami di pantai Carita di Pandeglang, wilayah Banten, Indonesia, 24 Dis, 2018. REUTERS
Indonesia akan membina satu sistem amaran baru yang berupaya mengesan tsunami yang berpunca dari kejadian tanah runtuh atau gelongsoran tanah di bawah laut.
Menurut Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT) Indonesia, pemasangan struktur boya baru akan bermula tahun depan.
Mekanisme baru ini akan berfungsi mengesan saiz ombak, menurut jurucakap BPPT, Iyan Turyana, seorang jurutera lautan.
Teknologi sedia ada gagal meramal tsunami pada Sabtu malam yang memusnahkan beberapa bandar di tepi pantai sekitar Selat Sunda, yang terletak di antara kepulauan Sumatera dan Jawa.
Ini kerana, sistem itu dipasang untuk memantau gempa bumi, dan bukan tanah runtuh bawah laut dan letusan gunung berapi, yang turut berpotensi menyebabkan ombak besar.
BACA: Tiada amaran awal kerana tiada alat pengesan tsunami berpunca gunung berapi
Kekurangan dana, vandalisme terhadap boya dan masalah teknikal menyebabkan tiada sistem amaran tsunami berfungsi sejak 2012.
Namun, menurut pakar, dalam situasi di Sunda, amaran dari boya juga adalah sangat minimal, mengambil kira jarak antara gunung Anak Krakatau dan pantai.
BACA: Alat pengesan tsunami ditambah dan diganti baharu - Jokowi
Keputusan untuk memasang sistem amaran baru ini dibuat susulan bencana tsunami pada Sabtu yang setakat ini menyebabkan 429 orang terkorban, 150 masih hilang dan 16,000 hilang tempat tinggal.
Tsunami berkenaan dicetuskan oleh runtuhan di bawah laut.
BACA: 5 perkara tentang tsunami pantai Anyer
#Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi #boya #BPPT Indonesia #gempa bumi #gunung berapi #hilang #Indonesia #ombak #Selat Sunda #sistem amaran #tanah runtuh #tsunami
;