Tsunami Selat Sunda: Haiwan terancam turut diselamatkan

Shafizan Johari
Disember 28, 2018 17:25 MYT
BBC turut melaporkan pihak konservasi memberi amaran keseluruhan specis badak Jawa berhadapan kepupusan sekiranya tsunami tercetus lagi. - Gambar fail
KINI, pihak SAR Indonesia sedang bertungkus-lumus memindahkan penyu-penyu yang terdampar di daratan untuk kembali ke habitat mereka di lautan.
Ketua Pusat Data dan Informasi Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) dan jurucakap agensi mitigasi bencana, Sutopo Purwo Nugroho‏ menerusi akaun Twitter beliau telah berkongsi paparan video usaha menyelamat sekumpulan penyu yang terdampar akibat tsunami yang membadai beberapa kabupaten (daerah) di wilayah Banten, Sabtu lalu.
"Pasukan gabungan mencari dan menyelamat (SAR) menemui beberapa ekor penyu terdampar di pantai ketika mencari mangsa tsunami di Selat Sunda.
"Pasukan gabungan melakukan evakuasi penyu dan melepaskan (mereka) kembali ke laut. Semoga selamat terus," kata Sutopo.

Tim SAR gabungan menemukan penyu terdampar di pantai saat mencari korban tsunami di Selat Sunda. Beberapa penyu terdampar di pantai. Tim gabungan melakukan evakuasi penyu dan melepaskan kembali ke laut. Semoga selamat terus. pic.twitter.com/5DTB5RrDyy

— Sutopo Purwo Nugroho (@Sutopo_PN) December 26, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Laporan BBC menyatakan penyu yang diselamatkan adalah daripada spesis penyu sisik (eretmochelys imbricata) yang termasuk dalam kategori haiwan terancam.
Sementara itu, BBC turut melaporkan pihak konservasi memberi amaran keseluruhan specis badak Jawa berhadapan kepupusan sekiranya tsunami tercetus lagi.
Ketika ini, populasi haiwan terancam berkenaan hanya tinggal 67 ekor dan kesemua mereka terselamat daripada tsunami kerana berada di pantai selatan Taman Negara Ujung Kulon.
Nasib mereka mungkin berbeza sekiranya kumpulan haiwan berkenaan berada di pantai utara taman negara berkenaan yang turut dibadai tsunami.
Badak Jawa adalah antara lima spesis badak paling terancam di dunia dan kini dalam proses pemindahan oleh pihak SAR di sana.
Ia sebelum ini boleh dijumpai wilayah timur laut India dan Asia Tenggara tetapi populasinya jatuh disebabkan oleh aktiviti pemburuan haram dan kemusnahan habitat semula jadi.
Jumlah korban tsunami di kepulauan Jawa dan Sumatera meningkat kepada lebih 400 orang selepas gempa bumi dasar laut yang mempunyai kaitan dengan letusan gunung berapi Anak Krakatau.

Ratusan rumah dan bangunan rosak teruk akibat tsunami itu yang berlaku tanpa amaran di sepanjang Selat Sunda.

#Anak Krakatau #Basarnas #gempa #gempa bumi #Indonesia #jawa #SAR #Sumatera #sutopo #tsunami #tsunami selat Sunda
;