Tsunami Palu: Angka korban kini cecah 1,203 orang

Afiq Ariffin
Oktober 1, 2018 04:27 MYT
Anggota penyelamat sedang mengeluarkan mangsa dari runtuhan akibat tsunami di Palu, Donggala. - Foto Reuters
Jumlah kematian akibat bencana tsunami di bandar Palu dan Donggala di Pulau Sulawesi, Indonesia, dilaporkan telah meningkat kepada 1,203 orang.
Menurut kenyataan media dari Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, angka korban itu dijangka akan terus meningkat berikutan masih terdapat beberapa lagi mayat mangsa ditemui di lokasi bencana itu.
Pasukan penyelamat masih giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa susulan gempa melanda Donggala dengan kekuatan 5.9 magnitud pada Jumaat lalu yang turut mencetuskan kejadian tsunami.
LIHAT: Tsunami landa bandar Palu, Sulawesi
BACA: Jambatan hubungkan Donggala Barat, Donggala Timur runtuh
BACA: Sulawesi Tengah diisytihar darurat 14 hari
BACA: Gempa: Muncul pula semburan api bawah tanah
BACA: Malaysia sedia bantu mangsa gempa bumi Sulawesi
Daerah Petobo merupakan daerah yang dilaporkan mempunyai jumlah mangsa yang ramai iaitu sebanyak 700 orang diikuti oleh daerah Undata seramai 201 orang, Bhayangkara seramai 161 orang, Mesjid Raya seramai 50 orang, Tawaeli seramai 35 orang, Madani seramai 32 orang, Wirabuana seramai 10 orang, Pol PP seramai 7 orang, Kawatuna seramai 5 orang dan Kayumalue Pajeko seramai 2 orang.
Ratusan rumah musnah akibat gempa dan tsunami susulan bencana berkenaan, dan pihak berkuasa berkata lebih dari 16,732 orang kini kehilangan tempat tinggal.
Selain itu, sebanyak tujuh loji jana kuasa PLN terpadam akibat gempa yang mengoncang daerah berkenaan, khususnya di Palu dan Donggala.
Setakat ini, hanya dua loji jana kuasa yang boleh dihidupkan kembali dan beroperasi.
Dalam pada itu, sistem komunikasi di lokasi bencana turut dilaporkan lumpuh disebabkan 276 stesen pengkalan tidak boleh digunakan buat masa ini.
Gabenor Sulawesi Tengah, Longki Djanggola juga telah menetapkan tempoh darurat bencana gempa bumi dan tsunami di daerah Sulawesi Tengah selama 14 hari (bermula 28/9/2018 hingga 11/10/2018).
Sementara itu, mangsa gempa yang terselamat juga dilaporkan kekurangan bekalan makanan dan bekalan air bersih serta barangan keperluan lain.
#angka korban #donggala #gempa bumi #Indonesia #mangsa #Palu #tsunami