Tsunami Jepun 2011: Sedekad berlalu, pilu masih bertamu
Reuters
Mac 10, 2021 17:23 MYT
Mac 10, 2021 17:23 MYT
KETIKA air mula surut, dunia juga mula berubah. Kenderaan dan rumah tersadai, roboh bagaikan blok binaan mainan kanak-kanak, meninggalkan tanah kosong berlumpur. Sepuluh tahun berlalu, yang masih hidup terus mencari dengan kesedihan yang tidak pernah reda.
Ulang tahun ke-10 tragedi gempa bumi dan tsunami 11 Mac 2011 menjadi acara nasional bagi Jepun, dengan orang kenamaan lengkap berpakaian warna hitam, berkumpul dan bertafakur di sebuah teater di Tokyo.
Bagi banyak mangsa yang terselamat, hari itu akan dilalui dengan doa memohon ketenangan dan tentunya, menziarahi kubur tempat bersemadinya ahli keluarga dan sahabat handai yang terkorban.
Gempa bumi dan tsunami tersebut mengorbankan hampir 20,000 orang di pesisir pantai Pasifik Jepun, lebih 400 kilometer timur laut Tokyo. Bencana itu juga memusnahkan banyak loji nuklear Fukushima, yang memaksa pemindahan puluhan ribu penduduk.
Kerajaan menghabiskan sekitar 31 trilion Yen untuk proses pembangunan semula.
Dalam jangka masa beberapa tahun, kawasan kejiranan, taman dan sekolah baharu dibina. Ribuan penduduk asal telah berpindah keluar, dan yang masih kekal, dihantui memori pahit, kehilangan hampir segala-galanya.
Di Rikuzentakata, tembok laut sepanjang 12.5 meter (41 kaki) mengelilingi garis pantai, sebuah projek yang dirancang untuk melindungi penduduk dari banjir di masa depan. Namun hasilnya, bandar ini terasa seperti kubu dengan tembok konkrit menghalang pemandangan laut.
Di Ishinomaki, sebuah bandar di pesisir wilayah Miyagi, hampir 3,200 orang maut dalam bencana tersebut.
Mika Sato kehilangan anak perempuannya, Airi, yang berada di tadika ketika gempa bumi melanda. Kanak-kanak malang itu bersama empat rakan yang lain dibawa menaiki bas, yang membawa mereka menuruni bukit dan menghampiri pantai.
Lima bulan selepas bencana itu, Sato dan tiga keluarga lain membuat tuntutan mahkamah terhadap pengendali tadika itu.
"Kami fikir undang-undang akan bawa keadilan. Tetapi itu tidak berlaku kerana kami tidak dapat jawapan tentang apa yang terjadi," kata Sato, 46 tahun.
Sehingga kini Sato masih hairan mengapa pihak sekolah memutuskan untuk membawa semua kanak-kanak itu ke pantai selepas gempa bumi besar, tetapi pengurusan sekolah memaklumkan mahkamah mereka tidak mendengar siren tsunami dibunyikan.
"Kemarahan tidak pernah dan tidak akan hilang. Ramai berkata, kami (mangsa) sepatutnya meneruskan hidup dan melupakan apa yang terjadi. Saya sudah biasa dengar kata-kata begitu yang menyakitkan hati.
"Kalaulah mereka juga ada kehilangan orang yang disayangi, bolehkah mereka cakap begitu?" tanya Sato, tenang.
Di timur laut Jepun, lebih 2,500 orang masih dilaporkan hilang. Di Iwate, pihak berkuasa mengadakan sesi walk-in bulanan di pusat membeli-belah dan pusat komuniti untuk keluarga yang masih mencari orang tersayang. Maklumat mengenai kehilangan dicatatkan dan kadangkala sampel DNA diambil daripada ahli keluarga.
"Saya rasa semua orang berharap dapat kembali hidup seperti dulu, tetapi kita tahu itu tidak mungkin," kata Hitoshi Tsurizaki, 71, seorang sukarelawan.
Tsurizaki membantu Sachiko Kumagai menulis surat kepada suaminya, Migaku yang hilang dalam bencana itu.
Kumagai mula menulis surat kepada suaminya, seorang nelayan, tiga bulan selepas tragedi, dengan harapan ia membantunya untuk menerima hakikat pemergiannya.
Surat kebiasaannya akan bermula dengan cuaca pada hari itu, sarapan yang disediakan untuknya, dan pertanyaan di mana Migaku berada.
"Selagi tiada bukti yang menunjukkan orang tersayang telah meninggal dunia, mereka tetap akan berharap ada keajaiban," kata Tsurizaki.
Pada tahun 2017, setahun sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, Kumagai akhirnya membuat permohonan sijil kematian suaminya. Dalam salah satu surat terakhirnya, dia mengalah dan berserah serta mula menerima takdir.
"Selamat pagi Migaku. Nampaknya tahun ini akan tamat tetapi saya masih belum menemui awak.
"Saya pernah mendengar keajaiban itu wujud, tetapi tidak ketika saya benar-benar mengharapkannya."