Tsunami 20 tahun: Hikmah 59 mangsa berlindung dalam kapal atas rumah

Irfan Faruqi
Disember 27, 2024 08:00 MYT
Pada 26 Disember 2004, tsunami dicetuskan oleh gempa bumi berkekuatan 9.1 - 9.3 pada skala Richter berpusat di pusat gempa di pantai barat Pulau Sumatera, melanda Aceh. - Gambar fail
SEJUMLAH 59 mangsa tsunami yang berlindung dalam Kapal Ampung Lampulo semasa bencana tsunami di Aceh pada tahun 2004 lalu meninggalkan hikmah yang sangat mendalam.

Ringkasan AI
  • Mangsa tsunami yang berlindung dalam Kapal Ampung Lampulo selamat daripada ombak dahsyat dengan berserah penuh kepada Tuhan.
  • Muzium Kapal Ampung Lampulo dikekalkan sebagai peringatan kepada generasi berikutnya tentang peristiwa tsunami dan keajaiban yang dialami oleh mangsa-mangsa yang berlindung di dalamnya.

Mangsa tsunami 2004 dan penduduk Desa Lampulo, Nilawati, yang menceritakan kembali peristiwa hitam berkenaan berkata kebergantungan tidak berbelah bahagi kepada Tuhan membuka rezeki diselamatkan daripada ombak dahsyat berkenaan.
“Sebaik sahaja kapal sampai, orang ramai dipanggil keluar untuk menaiki kapal. Sedangkan kapal tersebut sebenarnya hanyut sendiri, tiada nakhoda. 30 orang terus menaiki kapal, diikuti 20 orang lagi di bangunan berdekatan.
“Lebih kurang 50 orang dalam kapal tersebut. Kemudian, mereka lihat ada satu lagi gelombang ombak yang tinggi menghampiri. Seorang ustaz segera melaungkan azan sekuat-kuatnya.
“Sebelum ombak berkenaan memukul kapal yang dinaiki mangsa, ia pecah lebih awal dan hanya mengalirkan airnya di bawah kapal tersebut. Mungkin ini hikmah azan. Jika kita serahkan diri kepada Yang Maha Berkuasa, Allah membantu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Tsunami 20 tahun: Hikmah 59 mangsa berlindung dalam kapal atas rumah
Bercerita lanjut, Nilawati berkata, sembilan lagi mangsa yang hanyut turut diselamatkan dengan menaiki kapal atas rumah berkenaan. Tambahnya, melalui peristiwa inilah muzium Kapal Ampung Lampulo atau kapal atas rumah dikekalkan sebagai peringatan kepada generasi berikutnya.
Detik kebergantungan kepada Yang Maha Esa tidak berhenti setakat itu sahaja. Malahan, ketika mangsa-mangsa terbabit terperangkap dengan dikelilingi air pasca tsunami tanpa makanan serta minuman, keajaiban berlaku apabila setandan kelapa menyelematkan mereka.
“Bagi mangsa-mangsa yang berlindung dalam kapal ini lapar dan haus. Dengan izin-Nya, satu tandan kelapa hanyut berdekatan kapal yang kemudiannya di bahagikan kepada mangsa-mangsa untuk makan dan minum,” tambahnya.
Pada 26 Disember 2004, tsunami dicetuskan oleh gempa bumi berkekuatan 9.1 - 9.3 pada skala Richter berpusat di pusat gempa di pantai barat Pulau Sumatera, melanda Aceh.
Gempa tersebut merupakan durasi terpanjang yang pernah dicatatkan, dan bencana geologi yang paling buruk berlaku dalam sejarah moden.
Gempa sekuat itu menghasilkan ombak tsunami setinggi 30 meter, meratakan hampir keseluruhan wilayah kawasan pesisir pantai Aceh dan meragut lebih 170,000 korban nyawa penduduk Aceh.
Agenda AWANI: Aceh bangkit selepas dua dekad tsunami
#tsunami #Aceh #Dua Dekad Tsunami #kapal atas rumah
;