Trump: 'Wanita yang melakukan pengguguran haram perlu dihukum'
AFP
Mac 31, 2016 11:16 MYT
Mac 31, 2016 11:16 MYT
Wanita yang melakukan pengguguran secara haram patut dikenakan satu bentuk hukuman.
Itu pendapat calon Parti Republikan Donald Trump, ketika ditemubual dalam satu program televisyen.
"Perlu ada satu bentuk hukuman untuk wanita yang melakukannya," jawab Trump, ketika ditanya pengacara Chris Matthews.
Pendapat Trump itu mendapat reaksi negatif daripada banyak pihak, termasuk pesaingnya dari Parti Demokratik, Hilary Clinton.
"Kenyataan itu sangat menakutkan dan menjelaskan siapa Trump yang sebenarnya," kata Clinton menerusi akaun Twitter.
Clinton bersama Parti Demokratik, aktif memperjuangkan hak wanita untuk melakukan pengguguran, satu prosedur perubatan yang sehingga kini ditentang oleh Parti Republikan, biarpun sudah empat dekad Mahkamah Agung Amerika Syarikat mengesahkan ia bukan satu kesalahan.
Namun begitu, pihak Trump kemudiannya mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa apa yang dimaksudkan Trump adalah hukuman terhadap pengamal perubatan yang melakukan pengguguran secara haram.