Trump umum tarif barang import China ke Amerika naik dari 10 kepada 20 peratus
Agensi
Mac 4, 2025 08:15 MYT
Mac 4, 2025 08:15 MYT
Presiden Trump menerusi tindakan eksekutif yang ditandatangani pada Isnin telah menggandakan tarif tambahan ke atas semua barangan China daripada 10 peratus kepada 20 peratus. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menerusi tindakan eksekutif yang ditandatangani pada Isnin telah menggandakan tarif tambahan ke atas semua barangan China daripada 10 peratus kepada 20 peratus.
Menurut Trump, kenaikan tarif ini bertujuan untuk memaksa China mengambil tindakan terhadap penyeludupan fentanyl ke Amerika.
Beliau berkata, China masih belum mengambil tindakan yang mencukupi untuk membendung aliran masuk dadah haram tersebut.
Tarif baharu sebanyak 20 peratus ini dikenakan di samping tarif sedia ada ke atas barangan China.
"Saya telah menentukan bahawa Republik Rakyat China (PRC) masih belum mengambil langkah yang mencukupi untuk mengurangkan krisis dadah haram melalui tindakan penguatkuasaan bersama, dan krisis yang dinyatakan dalam Perintah Eksekutif 14195 masih belum reda," kata Trump dalam arahannya.
Cukai import yang dikenakan oleh Trump adalah sangat besar iaitu yang terbesar dalam sejarah hubungan perdagangan AS-China.
Tarif awal yang berkuat kuasa pada 4 Februari telah mengenakan cukai ke atas barangan import bernilai AS1.4 trilion, lebih tiga kali ganda daripada nilai AS$380 bilion barangan asing yang dikenakan tarif semasa penggal pertama Trump, menurut anggaran Yayasan Cukai.
China, bagaimanapun, telah membalas dengan mengenakan cukai 15 peratus ke atas arang batu dan gas asli cecair tertentu serta tarif 10 peratus ke atas minyak mentah, jentera pertanian, kereta bersesaran besar dan trak pikap.
China juga dijangka mengenakan sekatan tambahan, namun, Trump dalam satu kenyataan yang dikeluarkan White House berkata, beliau tidak menjangkakan tindak balas yang terlalu agresif daripada Beijing.
Sebelum menjadi Presiden, Trump pernah berjanji untuk mengenakan tarif 60 peratus ke atas semua barangan China, justeru terdapat kemungkinan tarif ini akan terus meningkat.
Selain itu, beliau juga dijangka membiarkan tarif tertunda sebanyak 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada berkuat kuasa mulai Selasa. - Agensi