Trump umum henti akses keselamatan dan taklimat risikan harian Biden

Bernama
Februari 8, 2025 13:30 MYT
Trump turut mendakwa bahawa Biden mengalami masalah ingatan yang lemah dan tidak boleh dipercayai untuk mengendalikan maklumat sensitif. - Gambar fail
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat mengumumkan bahawa beliau menghentikan akses keselamatan bekas presiden Joe Biden serta menamatkan taklimat risikan hariannya, lapor Xinhua.
"Tiada keperluan untuk Joe Biden terus menerima akses kepada maklumat sulit. Oleh itu, kami membatalkan kelulusan keselamatan Joe Biden dan menghentikan taklimat risikan hariannya," kata Trump dalam satu hantaran di platform media sosialnya, Truth Social.
Trump turut mendakwa bahawa Biden mengalami masalah ingatan yang lemah dan tidak boleh dipercayai untuk mengendalikan maklumat sensitif.
Beliau juga menegaskan bahawa Biden sendiri melaksanakan perkara ini pada 2021 apabila mengarahkan Komuniti Risikan untuk menghentikan akses Trump, yang ketika itu merupakan bekas presiden, kepada maklumat keselamatan negara - satu keistimewaan yang lazimnya diberikan kepada bekas presiden.
Tidak lama selepas mengangkat sumpah pada 2021, Biden berkata bahawa beliau tidak percaya Trump seharusnya menerima taklimat risikan kerana tingkah lakunya yang "tidak menentu" serta kebimbangan bahawa maklumat sulit mungkin didedahkan kepada pihak lain.
-- BERNAMA
#Joe Biden #Donald Trump #maklumat risikan #maklumat sulit
;