Trump umum buka semula jabatan kerajaan

Astro Awani
Januari 26, 2019 11:06 MYT
Donald Trump mengumumkan pembukaan semula kerajaan untuk jangka pendek di White House, Washington, 25 Jan, 2019. (Foto AP)
Presiden Donald Trump mengumumkan pembukaan semula kerajaan Amerika Syarikat untuk tempoh tiga minggu pada Jumaat, sekali gus menamatkan penutupan separa kerajaan terpanjang dalam sejarah negara itu.
Keputusan jangka pendek itu diumumkan Trump ketika bercakap di White House, sambil menyatakan beliau akan menandatangani rang undang-undang dalam waktu terdekat bagi membuka semula jabatan kerajaan yang ditutup sejak 22 Dis 2018 itu.
Tindakan Trump itu akan menamatkan sejarah susulan penutupan kerajaan persekutuan selama 35 hari.
Ia juga menyaksikan Trump tidak mendapat peruntukan ASD5.7 bilion yang dimahukannya daripada Kongres untuk membina tembok di sempadan, memberi kemenangan politik kepada Demokrat.
Sekurang-kurangnya, 800,000 kakitangan kerajaan persekutuan bekerja tanpa gaji atau 'dibekukan' daripada melakukan pekerjaan mereka.
Bagaimanapun, Trump berkata, penutupan itu akan disambung semula pada 15 Februari sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan hasil rundingan keselamatan di sempadan yang dibuat jawatankuasa persidangan antara Dewan dan Senat.
Sebaik sahaja mengumumkan pembukaan semula kerajaan, Trump turut menyentuh isu pembinaan tembok sempadan, menegaskan beliau akan mengumumkan perintah darurat sekiranya keadaan memerlukan.
#Amerika Syarikat #buka semula #Donald Trump #kerajaan #tutup kerajaan #White House
;