Trump ucap 'selamat' kepada pentadbiran baharu AS, bangga pencapaian selama memerintah
Astro Awani
Januari 19, 2021 06:14 MYT
Januari 19, 2021 06:14 MYT
WASHINGTON DC: Presiden Donald Trump mengucapkan selamat kepada pentadbiran baharu White House yang akan diterajui Joe Biden bermula hari ini.
Dalam video ucapan akhir itu, Trump yang merupakan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 berharap negara akan kekal makmur di bawah pentadbiran baharu.
"Minggu ini kita menerima pentadbiran baharu dan berharap akan kejayaannya meneruskan kejayaan, keselamatan dan kemakmuran Amerika.
"Kami mendoakan yang terbaik dan mengucapkan semoga berjaya, satu perkataan yang amat penting," kata Trump.
Trump tidak menamakan Biden sama sekali dalam ucapannya.
Ucapan Trump itu diakhiri dengan rakaman terima kasih kepada isterinya, Melania, anak-anaknya, Naib Presiden Mike Pence, ketua kakitangan Mark Meadows dan seluruh petugas White House.
Trump sifatkan kesemua mereka disebut namanya itu memiliki semangat juang yang tinggi demi AS.
Dalam video ucapan terakhir itu juga, Trump melahirkan rasa bangga dengan pencapaiannya selama empat tahun menerajui kuasa besar dunia.
Menurutnya, misi awal pada 2016 digerak untuk menjadikan AS sebuah negara yang kembali hebat.
Katanya, pembangunan semula AS itu berjaya dilakukan apabila beliau menamatkan penggal pemerintahan sebagai presiden ke-45.
Walaupun boleh berbangga dengan kejayaan berkenaan, ujar Trump, sudah pasti AS serta rakyatnya memerlukan lebih daripada itu.
"Warga Amerika sekelian. Empat tahun lalu, kita lancarkan satu usaha kebangsaan yang hebat untuk membangun semula negara kita.
"Memperbaharui semangat dan memulihkan kepercayaan kerajaan ini kepada rakyatnya.
"Pendek kata, kita merintis satu misi untuk menjadikan Amerika itu hebat semula untuk semua warga Amerika.
"Ketika mana saya mengakhiri penggal pemerintahan selama empat tahun sebagai Presiden AS ke-45.
"Saya berdiri di sini dan semestinya bangga dengan semua pencapaian kita secara bersama.
"Kita lakukan apa yang seharusnya kita lakukan dan bakal lakukan," kata Trump.
Beliau bakal akhiri tempoh sepenggal pemerintahannya bermula 2016.
Trump, calon Republikan, tewas dalam Pilihan Raya Presiden yang diadakan pada 3 November lepas.
Sehingga kini, beliau masih tidak mengaku kalah dengan proses demokrasi itu, sebaliknya tegas mempertikaikan keputusan undian elektoral terutama di negeri penting.
#Donald Trump
#ucap selamat
#pentadbiran baharu White House
#Joe Biden
#Presiden Amerika Syarikat ke-45
#Melania Trump