Trump tutup pintu kepada pelarian, pelancong dari tujuh negara Islam
Agensi
Januari 28, 2017 07:51 MYT
Januari 28, 2017 07:51 MYT
Lima penumpang dari Iraq dan seorang dari Yaman telah dihalang daripada menaiki penerbangan EgyptAir dari Kaherah ke New York pada Sabtu selepas Presiden Donald Trump menghentikan kemasukan rakyat dari tujuh negara Islam, menurut sumber di lapangan terbang Kaherah.
Penumpang itu yang tiba untuk transit dalam perjalanan ke lapangan terbang Kaherah, telah dihalang dan diarahkan menaiki penerbangan ke negara asal mereka walaupun merupakan pemegang visa yang sah, kata sumber itu.
Trump pada Jumaat mengenakan empat bulan sekatan terhadap pelarian yang datang ke Amerika Syarikat dan melarang buat sementara waktu kemasukan pelancong dari tujuh negara Islam, mengatakan langkah itu bertujuan membantu melindungi rakyat Amerika daripada serangan pengganas.
Negara Islam tersebut ialah Syria, Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman, menurut kenyataan White House.
Katanya, menggunakan kuasanya sebagai presiden, sejak memegang jawatan itu seminggu yang lalu, tindakannya mengenakan sekatan terhadap pelancong dari tujuh negara untuk sekurang-kurangnya 90 hari itu akan memberi masa kepada pentadbiran beliau untuk membangunkan prosedur pemeriksaan yang lebih ketat bagi pelarian, pendatang dan pelancong.
"Saya memperkenalkan tindakan tapisan baru untuk memastikan tiada pengganas Islam radikal di Amerika Syarikat. Saya tidak mahu mereka berada di sini," kata Trump di Pentagon pada Jumaat.
"Kami hanya mahu terima mereka yang menyokong negara kita dan menyayangi rakyat kita sepenuhnya," katanya.
Larangan kemasukan itu, walaupun sementara, berkuat kuasa serta-merta, menyebabkan huru-hara dan kekeliruan kepada bakal pelancong yang memegang pasport dari tujuh negara itu.