Trump tolak spekulasi ujian nuklear, Korea Utara mungkin ada 'hadiah Krismas'

Astro Awani
Disember 25, 2019 12:43 MYT
Donald Trump bercakap kepada media selepas sesi sidang video dengan tentera AS di kediaman beliau di Mar-a-Lago resort di Palm Beach, Florida, 24 Dis, 2019. REUTERS
PRESIDEN Donald Trump menolak spekulasi yang mengatakan Korea Utara sedang merancang pelancaran ujian nuklear jarak jauh.
Sebelum ini, Pyongyang mengancam untuk menyerang Amerika Syarikat (AS) selepas kegagalan perjanjian rundingan nuklear antara kedua-dua negara.
Trump berkata, AS akan dapat mengendalikan ancaman terbuka dari Korea Utara itu.
Tambahnya, Kim Jong Un mungkin merancang untuk memberinya 'hadiah yang bagus' sempena Krismas, bukannya melancarkan peluru berpandu.
"Mungkin ia satu hadiah, mungkin beliau akan hadiahkan saya pasu bunga yang cantik, bukannya ujian peluru berpandu.
"Saya mungkin dapat hadiah yang bagus daripadanya. Kita tak tahu," kata Trump kepada media selepas bercakap menerusi telefon dengan pemimpin tenteranya.
"Kita akan tahu apa kejutannya dan kami akan menanganinya dengan berjaya. Kita akan lihat apa yang akan berlaku.
"Semua orang ada kejutan untuk saya. Tapi mari kita lihat apa yang berlaku. Saya akan tanganinya apabila ia tiba," tambahnya.
Untuk rekod, Korea Utara telah tidak menjalankan sebarang ujian peluru berpandu jarak jauh sejak lebih dua tahun lalu.
#Donald Trump #Korea Selatan #Korea Utara #Pyongyang #ujian nuklear #Ujian Peluru Berpandu
;