Trump tolak gesaan buka semula kerajaan buat sementara

Bernama
Januari 15, 2019 04:09 MYT
Trump menolak gesaan seorang sekutu kuatnya di Kongres AS untuk membuka semula kerajaan buat sementara. -AP
Presiden Donald Trump pada Isnin menolak gesaan seorang sekutu kuatnya di Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk membuka semula kerajaan buat sementara ketika beliau bertegas mengenai dana projek pembinaan tembok sempadan AS-Mexico, lapor agensi berita Anadolu.
Ditanya mengenai penutupan buat hari ke-14 dan cadangan Senator Lindsey Graham pada hujung minggu, Trump berkata, "Saya tolak."
"Saya tidak minat. Saya mahu ia diselesaikan. Saya tidak mahu ia tertangguh. Saya mahu ia diselesaikan," kata Trump kepada pemberita sebelum berlepas dari Rumah Putih menuju Louisiana.
Presiden itu berusaha bersama kepemimpinan Senat daripada Parti Republikan untuk menarik balik perundangan Kongres yang tidak memasukkan dana AS5.7 bilion yang diperlukan bagi pembinaan tembok itu, tetapi tidak dapat dipastikan berapa lama pemimpin majoriti Mitch McConnell akan menyokongnya.
Komen Trump semalam dibuat ketika tiga pungutan suara menunjukkan sokongan terhadap beliau berlegar di sekitar 40 peratus.
Dalam satu pungutan suara berasingan oleh Washington Post-ABC News yang disiarkan pada Ahad menunjukkan rakyat Amerika menyalahkan Trump dan Republikan berhubung kebuntuan itu manakala hanya 29 peratus menyalahkan Demokrat.
Pada Ahad, Graham menggesa Trump membuka semula kerajaan untuk kira-kira tiga minggu bagi melihat sama ada Demokrat sedia berunding berhubung tembok itu.
"Jika kita tidak berjaya dalam masa tiga minggu, maka tiada lagi pilihan... kita lihat sama ada beliau boleh buat sendiri menerusi kuasa darurat. Ini cadangan saya," katanya.
Selepas berulang kali mendakwa beliau mempunyai kuasa perundangan bertindak demikian, Trump pada Isnin berkata, beliau tidak berminat menggunakan perintah darurat untuk membina tembok.
Demokrat mengancam mengambil tindakan perundangan andai beliau cuba membelakangkan Kongres bagi membina tembok yang sebelum ini Trump berjanji, ia akan dibiayai Mexico.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Lindsey Graham #Mexico #tembok #Washington