Trump tidak mengaku kalah, sinis terhadap kemenangan Biden
Astro Awani
November 16, 2020 10:47 MYT
November 16, 2020 10:47 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tidak mengaku kalah dan akan mencabar keputusan pilihan raya presiden di mahkamah.
Menurut peguam peribadinya, Rudy Giuliani, tweet dihantar Trump yang menyebut mengenai kemenangan calon Demokrat Joe Biden bukan bermakna beliau mengaku kalah.
"Tidak. Tidak sama sekali. Mungkin anda boleh kata, beliau bersikap sinis, atau pun sekadar memberi komen mengenai keadaan yang teruk ini, di mana media berkata dia (Biden) menang.
"Tetapi, apabila beliau (Trump) berkata ia tidak sah, jelas sekali dia akan mencabarnya di mahkamah. Pihak media telah cuba mengatur keputusan pilihan raya, tetapi mereka tiada hak berbuat demikian.
"Pengundi kita yang berhak buat keputusan, bukan NBC, CBS, MSNBC, CNN, malah FOX juga," katanya di New York pada Ahad.
Ini merupakan perkembangan terkini susulan pilihan raya presiden AS pada 3 November lepas.
Dalam kemas kini tweetnya, Trump menyebut Biden telah menang, namun terus mendakwa, wujud penipuan dalam pilihan raya tersebut.
Sebaliknya, pihak berkuasa pilihan raya negeri dan persekutuan di AS mendakwa tiada penipuan yang berlaku.
Guiliani dilaporkan akan mengetuai pasukan perundangan Trump untuk mencabar keputusan tersebut di mahkamah.
Sehingga kini, tiada bukti dikemukakan susulan dakwaan penipuan besar-besaran yang berlaku di beberapa negeri termasuk Pennsylvania
Ketika ini, Biden dilaporkan telah menang 306 undi elektoral dan lebih 77 juta undi berbanding Trump yang hanya memperoleh 232 undi elektoral dengan 72 juta undi.
#Tweet
#mahkamah
#pilihan raya
#presiden
#calon
#Donald Trump
#pilihan raya presiden
#Joe Biden
#Amerika Syarikat
#mengaku kalah
#sinis
#Twitter
#Rudy Giuliani
#peguam