Trump tetap tolak Perjanjian Paris, sifatkannya 'bunuh' ekonomi Amerika
Astro Awani
November 22, 2020 04:42 MYT
November 22, 2020 04:42 MYT
PRESIDEN Donald Trump mempertahankan keputusannya untuk memastikan Amerika Syarikat menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris.
Pendirian beliau konsisten dengan ketegasan sama yang dinyatakannya semasa Sidang Kemuncak G20.
Tegasnya, sejak beberapa tahun lalu, Amerika Syarikat disifatkannya sebagai salah sebuah negara yang mempunyai udara dan air sungai yang paling bersih di dunia.
Justeru, Trump pada Ahad di Washington DC, membidas Perjanjian Iklim Paris yang disifatkan berat sebelah dan hanya membunuh ekonomi Amerika Syarikat.
"Perjanjian Iklim Paris itu bukan bertujuan menyelamatkan alam sekitar. Ia diwujudkan untuk membunuh ekonomi Amerika.
"Saya enggan membiarkan rakyat Amerika hilang pekerjaan, dan menyumbangkan trilion dolar Amerika Syarikat kepada pencemar alam sekitar. Itu sebenarnya yang berlaku," tegas Trump.
Malah, Trump mendakwa sejak menarik diri dari perjanjian itu, Amerika Syarikat telah mengurangkan lebih banyak pelepasan karbon daripada mana-mana negara di dunia.
Pada 5 November lalu, pentadbiran Trump umum untuk menamatkan Perjanjian Iklim Paris, menjadikannya sebagai negara pertama yang menarik diri daripada perjanjian perubahan iklim antarabangsa.
Bagaimanapun bakal Presiden, Joe Biden berjanji akan menyambung semula perjanjian itu sebaik memenangi pilihan raya.
#Donald Trump
#Amerika Syarikat
#tarik diri
#Perjanjian Paris
#perjanjian iklim
#alam sekitar
#Joe Biden
#pelepasan karbon
#hilang pekerjaan
#pencemaran