Trump tangguh tarif automobil dari Kanada, Mexico selama sebulan
Bernama
Mac 6, 2025 11:10 MYT
Mac 6, 2025 11:10 MYT
Karoline Leavitt bercakap kepada media di Bilik Taklimat Media James Brady, Rumah Putih, Washington, 5 Mac 2025. (Foto AP)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas kenderaan dari Kanada dan Mexico selama sebulan sejurus selepas mengadakan pertemuan dengan ketua tiga pengeluar kereta terbesar AS pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata Trump membuat keputusan itu atas permintaan ketua Ford, General Motors dan Stellantis bagi memastikan syarikat-syarikat terbabit "tidak berada dalam kedudukan yang merugikan."
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dasar tarif yang lebih luas terhadap negara lain di seluruh dunia akan tetap berkuat kuasa seperti yang dirancang pada 2 April.
"Beliau memberitahu mereka untuk bertindak segera, mula melabur, memindahkan pengeluaran ke Amerika Syarikat, supaya mereka tidak perlu membayar tarif. Itulah matlamat utama," katanya.
Saham ketiga-tiga syarikat didagangkan lebih tinggi pada petang Rabu selepas pengesahan Rumah Putih.
-- BERNAMA