Trump tangguh tarif Amerika ke atas Mexico selama sebulan
Bernama
Februari 3, 2025 06:00 MYT
Februari 3, 2025 06:00 MYT
MEXICO CITY: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengumumkan pada Isnin bahawa tarif 25 peratus yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 1 Feb akan ditangguhkan selama sebulan, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam satu kenyataan di akaun Xnya, Sheinbaum berkata, beliau telah mengadakan panggilan telefon dengan Trump, yang kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan mengenai sempadan bersama mereka dan pengedaran fentanyl.
Sebagai sebahagian daripada komitmen Mexico, Sheinbaum berkata, 10,000 tentera Pengawal Kebangsaan akan dikerahkan di sepanjang sempadan AS-Mexico untuk memerangi penyeludupan fentanyl.
Sebagai balasan, AS berjanji untuk mengekang penyeludupan senjata api ke Mexico.
Sheinbaum juga mengumumkan bahawa tarif akan digantung selama sebulan, meredakan ketegangan buat sementara waktu selepas Trump memenuhi janjinya untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua barangan Mexico - tindakan yang telah mencetuskan tentangan kuat daripada pegawai Mexico.
Trump mengesahkan perbualan di Truth Social, menyifatkannya sebagai "sangat mesra."
Beliau menyatakan, Sheinbaum telah bersetuju untuk segera mengerahkan 10,000 tentera Mexico ke sempadan untuk menghentikan aliran fentanyl dan pendatang tanpa izin ke AS.
"Kami seterusnya bersetuju untuk menghentikan serta-merta tarif yang dijangkakan selama sebulan yang kami akan mengadakan rundingan yang diketuai oleh Setiausaha Negara, Marco Rubio; Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, serta wakil peringkat tinggi Mexico.
"Saya berharap untuk mengambil bahagian dalam rundingan tersebut dengan Presiden Sheinbaum, ketika kami cuba mencapai 'perjanjian' antara kedua-dua Negara," tulis Trump.
Pada hujung minggu, Sheinbaum menolak tuduhan AS bahawa kerajaannya bersekongkol dengan jenayah terancang - pada hari yang sama tarif diumumkan.
Beliau menolak dakwaan itu sebagai fitnah dan mengkritik tarif, dengan alasan diplomasi adalah cara yang tepat untuk menangani kebimbangan bersama.
"Bukan dengan pengenaan tarif masalah diselesaikan, tetapi melalui perbincangan dan dialog, seperti yang kami lakukan dalam beberapa minggu lepas dengan Jabatan Negara untuk menangani fenomena migrasi; dalam kes kami, dengan menghormati hak asasi manusia," katanya.
- BERNAMA