Trump tandatangani perintah lucut status khas Hong Kong

Bernama
Julai 15, 2020 11:35 MYT
Trump turut menandatangani Undang-Undang Autonomi Hong Kong yang antara lain memberi mandat kepada kerajaan untuk mengenakan sekatan ke atas bank. - Gambar fail
Presiden Donald Trump pada Selasa menandatangani perintah eksekutif untuk melucutkan status khas Hong Kong di bawah undang-undang Amerika Syarikat (AS), ketika pertikaian antara Washington dan Beijing kian memuncak, lapor agensi berita Anadolu.
"Hong Kong sekarang akan dilayan sama seperti China - tiada hak istimewa, tiada layanan khas dari sudut ekonomi, dan tiada eksport teknologi sensitif," kata Trump kepada wartawan pada sidang media.
Trump turut menandatangani Undang-Undang Autonomi Hong Kong, yang sebelumnya telah diluluskan Kongres, antara lain memberi mandat kepada kerajaan untuk mengenakan sekatan ke atas bank yang menjalankan perniagaan dengan mana-mana individu yang ditetapkan di bawah akta itu.
Langkah itu diambil berikutan keputusan China menguatkuasakan undang-undang keselamatan Hong Kong yang mencetuskan kontroversi.
Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dengan rasminya meluluskan undang-undang itu pada Jun lalu, yang kemudian ditandatangani Presiden China Xi Jinping.
Aktivis bimbang undang-undang itu akan digunakan Beijing untuk menafikan perbezaan pendapat di wilayah berkenaan.
Pada 3 Julai, seorang lelaki berusia 23 tahun di Hong Kong dituduh melakukan aktiviti keganasan dan menyokong pemisahan, menjadi individu pertama didakwa di bawah undang-undang keselamatan baharu itu.
Hong Kong adalah wilayah separa autonomi yang menjadi sebahagian China sejak 1997, ketika United Kingdom menyerahkan bekas jajahan itu kepada Beijing.
Sejak tahun lalu, Hong Kong dibelenggu protes besar-besaran kerana membantah rang undang-undang ekstradisi.
Golongan yang menentang rang undang-undang itu mendakwa ia akan menyebabkan Hong Kong "mati" kerana mana-mana aktivis hak asasi manusia atau anggota badan bukan kerajaan yang aktivitinya tidak disukai Beijing berdepan risiko akan diekstradisi atau dianiaya.
Sementara itu, pihak berkuasa Hong Kong turut melarang sekolah menyanyikan lagu-lagu yang mempunyai unsur protes.
-- BERNAMA
#aktivis hak asasi manusia #Amerika Syarikat #autonomi #bank #China #Donald Trump #ekonomi #Hong Kong #keganasan #keselamatan #lucut khas #perbezaan pendapat #protes #sekatan #tandatangan #undang-undang #United Kingdom #Xi Jinping
;