Trump tandatangan perintah eksekutif jadikan Amerika pusat AI dunia
Agensi
Januari 24, 2025 09:45 MYT
Januari 24, 2025 09:45 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis menandatangani satu perintah eksekutif berkaitan kecerdasan buatan (AI) untuk "menjadikan Amerika sebagai pusat dunia dalam kecerdasan buatan," kata seorang pembantunya kepada pemberita di Pejabat Oval, White House.
Perintah itu menetapkan tarikh akhir selama 180 hari untuk Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan bagi mencipta dasar yang "memelihara dan meningkatkan dominasi global Amerika dalam AI untuk mempromosikan kemakmuran manusia, daya saing ekonomi, dan keselamatan negara."
Dalam masa sama, Trump juga mengarahkan penasihat AI dan pembantu keselamatan negaranya untuk menghapuskan dasar-dasar dan peraturan yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Joe Biden.
Pada Isnin, Trump membatalkan perintah eksekutif 2023 yang ditandatangani oleh Biden, yang bertujuan mengurangkan risiko yang ditimbulkan oleh kecerdasan buatan kepada pengguna, pekerja dan keselamatan negara.
Perintah Biden sebelum ini mewajibkan pembangun sistem AI yang berisiko kepada keselamatan negara AS, ekonomi, kesihatan awam atau keselamatan untuk berkongsi hasil ujian keselamatan dengan kerajaan
AS, mengikut Akta Pengeluaran Pertahanan (Defense Production Act), sebelum sistem itu dilancarkan kepada umum.
Langkah Trump ini menekankan pendekatan baharu untuk menjadikan Amerika sebagai peneraju global dalam inovasi teknologi sambil menghapuskan dasar era Biden yang dianggap menyekat daya saing sektor swasta.