Trump selamat cubaan bunuh di Florida

Astro Awani
September 16, 2024 08:00 MYT
Satu kejadian cubaan bunuh terhadap Trump berlaku berhampiran kelab golf miliknya pada Ahad, ketika bekas presiden AS itu sedang bermain di padang golf di West Palm Beach, Florida, itu. - REUTERS
DONALD Trump terselamat selepas satu cubaan pembunuhan ketika bermain di kelab golf miliknya di West Palm Beach, Florida, pada Ahad.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyifatkan kejadian pada kira-kira jam 1.30 petang itu sebagai kes cubaan bunuh terhadap bekas presiden Amerika Syarikat (AS) itu.
Pegawai penguat kuasa undang-undang menyatakan, penembak bersembunyi di kawasan semak berhampiran sempadan padang golf itu.
Agen perkhidmatan rahsia yang memeriksa kawasan tersebut ternampak laras senapang, lalu bertindak melepaskan empat tembakan.
Penembak melarikan diri selepas menjatuhkan senapang, dua beg galas dan beberapa barangan lain.
Suspek kemudiannya ditemui di Martin County dan ditahan oleh timbalan sherif di lebuh raya I-95, kira-kira 65km dari padang golf tersebut.
Seorang saksi sempat mengambil gambar kereta suspek, sebuah Nissan berwarna hitam, serta nombor pendaftarannya.
Suspek ditemui di lokasi kira-kira 365 hingga 460 meter dari tempat Trump bermain.
Media AS melaporkan suspek dikenali sebagai Ryan Wesley Routh, 58 tahun, berasal dari Hawaii, memetik pegawai penguat kuasa yang tidak dinamakan.
Cubaan bunuh ini berlaku hanya dua bulan selepas Trump ditembak pada satu perhimpunan kempen pilihan raya di Pennsylvania, di mana beliau mengalami kecederaan ringan di telinga kanannya. - Agensi
#Donald Trump #cubaan bunuh #golf #Amerika Syarikat
;