Trump sekali lagi tidak hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN

Najib Aroff
Oktober 30, 2019 16:00 MYT
Pertemuan terdekat Trump bersama pemimpin Asia adalah pada Sidang Kemuncak APEC pada 16 dan 17 November nanti. - Gambar fail
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Bangkok, Thailand, sekaligus menjadikan ia tahun kedua berturut-turut tanpa kehadiran pemimpin negara itu.
Menurut laporan antarabangsa, White House memaklumkan Amerika Syarikat hanya akan menghantar wakil Penasihat Keselamatan Robert O’Brien dan Setiausaha Perdagangan Wilbur Ross pada pertemuan ASEAN dan Amerika Syarikat.
Ross bakal mewakili Amerika Syarikat untuk Forum Perniagaan Indo Pasifik kedua di Bangkok dan membawa misi dagangan ke Thailand, Indonesia serta Vietnam.
White House tidak memperincikan alasan Trump tidak menyertai Sidang Kemuncak ASEAN serta mengapa Setiausaha Negara Mike Pompeo tidak menghadiri sidang berkenaan.
Pada 2018, Trump tidak menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura dan hanya diwakili Naib Presidennya, Mike Pence.
Trump pernah menyertai Sidang Kemuncak ASEAN di Manila ketika tahun pertama menjawat jawatan Presiden.
Kehadiran Trump amat penting berikutan beberapa isu serantau seperti ketegangan di Laut China Selatan dan Perang Dagang bersama China amat memberi kesan kepada negara anggota ASEAN.
Pertemuan terdekat Trump bersama pemimpin Asia adalah pada Sidang Kemuncak APEC pada 16 dan 17 November nanti.
Sikap Trump jauh berbeza dengan bekas presiden Barack Obama yang menghadiri kesemua Sidang Kemuncak ASEAN sepanjang lapan tahun memimpin Amerika Syarikat.
#Amerika Syarikat #APEC #ASEAN #Bangkok #Barack Obama #China #Donald Trump #Indonesia #Sidang Kemuncak ASEAN #Thailand #White House
;