Trump saksi termeterainya perjanjian damai Israel, Bahrain, UAE

Astro Awani
September 16, 2020 08:25 MYT
Dari kiri, Benjamin Netanyahu, Donald Trump dan Menteri Luar UAE Abdullah Zayed mempamerkan salinan perjanjian Abraham Accords yang ditandatangani di White House, Washington, 15 Sept, 2020. REUTERS
PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa menyaksikan perjanjian damai bersejarah dimeterai antara Israel dan dua negara Arab di White House.
Perjanjian itu merasmikan permulaan hubungan baharu antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain, sekali gus mengubah landskap politik Asia Barat.
Perjanjian itu bagaimanapun tidak menyentuh mengenai konflik antara Israel dan Palestin.
Sebaliknya, White House menyeru kepada dua negara Arab itu bahawa konflik tersebut bukan halangan bagi mereka menjalinkan hubungan bersama Israel.
“Perjanjian ini membuktikan bahawa negara-negara di rantau itu kini membebaskan diri daripada pelbagai pendekatan yang gagal sebelum ini.
“Pemeteraian ini meletakkan sejarah pada perjalanan baharu, yang bakal menyaksikan negara-negara lain mengikuti pemimpin-pemimpin hebat ini,” kata Trump.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula menyifatkan perjanjian itu memberi makna yang sangat besar buat negaranya.
“Berkat daripada keamanan yang kami capai hari ini cukup besar - pertama, kerana keamanan ini lama-kelamaan akan berkembang ke negara Arab lain dan akhirnya ia akan menamatkan konflik Arab-Israel,” ujarnya.
Menteri Luar Bahrain Abdullatif Rashid Alzayani pula menyatakan perjanjian yang dimeterai itu adalah satu langkah pertama yang penting.
“Ia bergantung kepada kami untuk berusaha serta-merta dan membawa keamanan dan keselamatan dalam jangka masa panjang.
“Rakyat kami berhak mendapat penyelesaian dua negara yang komprehensif bagi konflik Palestin-Israel yang menjadi asas kepada keselamatan ini,” katanya.
Dalam pada itu, ramai pengkritik berpandangan bahawa perjanjian ini mengabaikan suara Palestin serta sebagai satu penganiayaan oleh rakan-rakan sekutu di rantau berkenaan.
Sekiranya negara-negara Asia Barat lain turut serta, terutama Arab Saudi, ia bakal mendatangkan implikasi besar terhadap Iran, Syria, dan Lubnan, antara penyokong tegar hak Palestin di rantau itu.
Bagi Trump pula, perjanjian yang dipanggil 'Abraham Accords' itu bakal membantu calon presiden itu meraih sokongan menjelang pilihan raya umum November ini.
#Abraham Accords #Amerika Syarikat #Arab Saudi #Asia Barat #Bahrain #Benjamin Netanyahu #calon #Donald Trump #Iran #Israel #keselamatan #konflik #menteri #Palestin #perjanjian damai #pilihan raya #politik #rakyat #Syria #UAE #White House
;