Trump sahkan AS 'sedang berbincang dengan Hamas'
Bernama
Mac 7, 2025 13:00 MYT
Mac 7, 2025 13:00 MYT
Rumah Putih mengesahkan bahawa pentadbiran Trump terlibat dalam perbincangan langsung dengan Hamas, sambil menegaskan ia selari dengan kepentingan AS. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengesahkan bahawa AS sedang mengadakan perbincangan dengan kumpulan Palestin, Hamas berhubung isu tawanan di Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Kami sedang berbincang dengan Hamas. Kami membantu Israel dalam perbincangan itu kerana ia melibatkan tawanan Israel," kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval.
Terdahulu, Rumah Putih mengesahkan bahawa pentadbiran Trump terlibat dalam perbincangan langsung dengan Hamas, sambil menegaskan ia selari dengan kepentingan AS.
"Kami tidak melakukan apa-apa dalam konteks Hamas. Kami tidak memberikan wang tunai... Namun, rundingan tetap perlu dilakukan. Ada perbezaan antara berunding dan membayar. Saya mahu mereka (tawanan) dibebaskan," katanya.
Pada Rabu, Trump memberi amaran kepada Hamas mengenai "akibat buruk" sekiranya kumpulan itu gagal membebaskan semua tawanan Israel dengan segera.
-- BERNAMA