Trump rombak pentadbiran, pegawai kanan kerajaan bakal jadi lantikan politik
Agensi
Februari 26, 2025 07:40 MYT
Februari 26, 2025 07:40 MYT
Presiden Donald Trump (kanan) mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama beliau dalam penggal kedua pentadbirannya pada Rabu. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Di tengah-tengah pemecatan besar-besaran ribuan pekerja Persekutuan, pentadbiran Donald Trump mengambil langkah seterusnya untuk merombak agensi kerajaan dengan meningkatkan bilangan pekerja yang setia kepada agenda dasar Presiden Amerika Syarikat (AS) itu.
Dalam memo yang dihantar kepada ketua-ketua agensi pada hari Isnin, Pejabat Pengurusan Personel (OPM) mengarahkan agensi-agensi untuk memulakan proses mengklasifikasikan semula jawatan tertinggi kerjaya dalam kerajaan sebagai jawatan politik yang dilantik oleh Presiden.
Langkah ini berpotensi memberi kesan kepada ribuan jawatan kerjaya sedia ada di seluruh kerajaan.
Menurut undang-undang, mesti ada sekurang-kurangnya 3,571 jawatan kerjaya terpelihara di seluruh kerajaan, kata OPM, tetapi kini terdapat lebih daripada dua kali ganda jumlah tersebut.
"OPM percaya bahawa kebanyakan jawatan kerjaya terpelihara di seluruh kerajaan Persekutuan bukanlah jenis jawatan teknikal yang sesuai untuk status kerjaya terpelihara," kata memo tersebut.
Persatuan Eksekutif Kanan, sebuah kesatuan yang mewakili kepentingan eksekutif Persekutuan menganggarkan, jumlah pekerja ini melebihi 8,000 orang.
"Pentadbiran Trump kini mengambil langkah untuk mempolitikkan peringkat tertinggi dalam kerajaan kita dengan menukar jawatan eksekutif bukan partisan kepada jawatan yang boleh diisi dengan penyokong setia dan partisan.
“Ini adalah satu lagi langkah besar ke arah mengembalikan sistem suapan politik, yang akan membawa kepada rasuah dan ketidakcekapan dalam kerajaan kita," kata Max Stier, Presiden Partnership for Public Service, sebuah organisasi bukan partisan yang fokus pada kerajaan Persekutuan.
Memo itu merujuk kepada lebih 200 jawatan yang terlibat dalam keputusan dasar yang kini diuruskan oleh eksekutif kerjaya berbanding pelantikan politik.
"Dasar utama Presiden atau ketua agensi ditapis melalui pelantikan dengan kebertanggungjawaban demokratik yang berkurangan," tulis Charles Ezell, pengarah sementara OPM dalam memo itu, sambil menambah bahawa jawatan-jawatan tersebut tidak bertujuan untuk "menggantikan kepimpinan itu."
OPM mengarahkan agensi untuk mengemukakan cadangan mereka sendiri menjelang 24 Mac ini. - Agensi