Trump, Putin berbincang ketika Biden merancang untuk melobi Trump agar terus sokong Ukraine
Agensi
November 11, 2024 09:15 MYT
November 11, 2024 09:15 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih, Donald Trump berkomunikasi dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan menasihatkannya agar tidak meningkatkan peperangan di Ukraine, menurut sumber yang mengetahui perbualan itu kepada Reuters pada Ahad (10 Nov).
Komunikasi itu berlaku ketika Presiden Joe Biden merancang untuk mendesak Trump agar tidak meninggalkan Kyiv.
Trump dan Putin telah berbincang beberapa hari kebelakangan ini, kata sumber itu.
Beliau juga berhubung dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, pada Rabu.
Trump telah mengkritik skala sokongan ketenteraan dan kewangan AS untuk Kyiv, dengan berjanji untuk menamatkan perang dengan cepat, tanpa menyatakan caranya.
Kementerian Luar Negeri Ukraine bagaimanapun, menegaskan, tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai panggilan antara Trump dan Putin dan seterusnya tidak dapat menyokong atau membantahnya.
“Kami tidak memberi komen tentang panggilan peribadi antara Presiden Trump dan pemimpin dunia lain,” kata Steven Cheung, pengarah komunikasi Trump, ketika ditanya mengenai panggilan telefon itu, yang pertama kali dilaporkan oleh The Washington Post.
Kedutaan Rusia di Washington juga tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Trump dari Parti Republikan akan memegang jawatan pada 20 Jan selepas menewaskan Naib Presiden, Kamala Harris dalam Pilihan Raya Presiden pada 5 Nov lalu.
Biden juga telah mengundang Trump ke Pejabat Oval pada Rabu ini, kata White House.
Pada Ahad, Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan berkata, mesej utama Biden adalah komitmennya untuk memastikan peralihan kuasa yang aman dan beliau juga akan berbincang dengan Trump mengenai situasi di Eropah, Asia dan Asia Barat.
“Presiden Biden akan mempunyai peluang selama 70 hari akan datang untuk menjelaskan kepada Kongres dan pentadbiran yang akan datang bahawa Amerika Syarikat tidak seharusnya meninggalkan Ukraine, bahawa meninggalkan Ukraine bermaksud lebih banyak ketidakstabilan di Eropah,” kata Sullivan kepada rancangan Face the Nation di CBS News.
Kenyataan Sullivan dibuat ketika Ukraine menyerang Moscow pada Ahad dengan sekurang-kurangnya 34 dron, serangan dron terbesar ke atas ibu kota Rusia sejak permulaan perang.
Apabila ditanya sama ada Biden akan meminta Kongres meluluskan undang-undang untuk membenarkan lebih banyak pembiayaan untuk Ukraine, Sullivan mengelak daripada memberi jawapan.
“Saya di sini bukan untuk mengemukakan cadangan undang-undang tertentu. Presiden Biden akan menjelaskan bahawa kita memang memerlukan sumber berterusan untuk Ukraine melebihi tempoh penggal beliau,” kata Sullivan.
Washington telah menyediakan bantuan ketenteraan dan ekonomi AS bernilai puluhan bilion dolar kepada Ukraine sejak ia diserang oleh Rusia pada Februari 2022, pembiayaan yang telah dikritik berulang kali oleh Trump dan ditentang bersama Ahli Parlimen Republikan lain.
Pada tahun lalu, Trump menegaskan, Putin tidak akan pernah menyerang Ukraine jika beliau berada di White House pada masa itu.
Beliau memberitahu Reuters, Ukraine mungkin perlu menyerahkan wilayah untuk mencapai perjanjian damai, sesuatu yang ditolak oleh pihak Ukraine dan tidak pernah dicadangkan oleh Biden.
Zelenskyy berkata pada Khamis, beliau tidak mengetahui sebarang butiran mengenai rancangan Trump untuk menamatkan perang Ukraine dengan cepat dan beliau yakin penamatan cepat itu akan memerlukan konsesi besar untuk Kyiv.
Menurut Pejabat Akauntabiliti Kerajaan, Kongres telah memperuntukkan lebih daripada AS$174 bilion kepada Ukraine di bawah pentadbiran Biden.
Kadar bantuan ini hampir pasti akan berkurang di bawah Trump dengan Republikan dijangka mengambil alih kawalan Senat AS dengan majoriti 52 kerusi.
Kawalan Dewan Perwakilan AS dalam Kongres seterusnya masih belum jelas kerana beberapa undian masih dikira.
Republikan telah memenangi 213 kerusi, menurut Edison Research, hanya kurang daripada 218 yang diperlukan untuk majoriti.
Jika Republikan memenangi kedua-dua dewan, ia bermakna sebahagian besar agenda Trump akan lebih mudah diluluskan melalui Kongres. - Reuters