Trump puji Perdana Menteri Keir Starmer “lakukan kerja yang sangat baik”

Agensi
Januari 26, 2025 11:00 MYT
Trump (kanan) memuji Perdana Menteri Starmer dengan menyatakan beliau telah melakukan "kerja yang sangat baik setakat ini" dan menggambarkan hubungan mereka sebagai "sangat baik."
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memuji Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer dengan menyatakan beliau telah melakukan "kerja yang sangat baik setakat ini" dan menggambarkan hubungan mereka sebagai "sangat baik."
Dalam wawancara dengan BBC di atas pesawat Air Force One, Trump juga menyebut bahawa beliau dan Starmer akan mengadakan panggilan telefon "dalam tempoh 24 jam akan datang."
Trump dan ketua Parti Buruh itu telah bertemu beberapa kali termasuk ketika Starmer mengunjungi Trump Tower di New York semasa kempen Presiden.
Bagaimanapun, Elon Musk, seorang bilionair teknologi dan sekutu Trump, telah memberikan kritikan keras terhadap Starmer dan beberapa kali mendesak agar beliau disingkirkan daripada jawatan.
"Saya menyenanginya. Saya sangat menyukainya," kata Trump mengenai Perdana Menteri UK itu.
"Dia seorang yang liberal, yang agak berbeza dengan saya, tetapi saya fikir dia seorang yang sangat baik dan telah melakukan kerja yang sangat baik setakat ini.
"Dia mewakili negaranya dari segi falsafah.
"Saya mungkin tidak bersetuju dengan falsafahnya, tetapi saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengannya."
Trump membuat kenyataan itu semasa mengunjungi bilik akhbar dalam pesawat Presidennya pada Sabtu.
Beliau ditanya mengenai hubungannya dengan Starmer selepas menjawab soalan mengenai destinasi lawatan antarabangsa pertama dalam penggal kedua beliau sebagai Presiden.
"Ia boleh jadi Arab Saudi atau mungkin United Kingdom. Secara tradisinya, boleh jadi United Kingdom," kata Trump.
"Kali terakhir saya pergi ke Arab Saudi kerana mereka bersetuju untuk membeli barangan Amerika Syarikat bernilai AS$450 bilion." - Agensi
#Donald Trump #Keir Starmer #Perdana Menteri UK #Elon Musk
;