Trump pilih pencipta 'The Apprentice' Mark Burnett sebagai Utusan Khas ke UK

Bernama
Disember 22, 2024 16:15 MYT
Trump turut memuji pencapaian Burnett, termasuk 13 Anugerah Emmy dan peranannya dalam menghasilkan rancangan popular seperti "Survivor" dan "Shark Tank". - Gambar/ Reuters
ISTANBUL: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencalonkan penerbit televisyen British Mark Burnett yang terkenal dengan rancangan "The Apprentice", sebagai utusan khas ke United Kingdom (UK) pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.
Pengumuman itu dibuat melalui platform media sosial Trump, Truth Social, di mana beliau memuji kerjaya Burnett yang cemerlang dalam bidang produksi televisyen dan perniagaan serta menyifatkan pelantikan itu sebagai satu "penghormatan besar."
"Mark akan bertugas memperkukuh hubungan diplomatik, dengan memberi tumpuan kepada bidang kepentingan bersama seperti perdagangan, peluang pelaburan, dan pertukaran budaya," kata Trump.
Trump turut memuji pencapaian Burnett, termasuk 13 Anugerah Emmy dan peranannya dalam menghasilkan rancangan popular seperti "Survivor" dan "Shark Tank".
Burnett, 64, mencapai kemasyhuran di Hollywood sebagai perintis rancangan televisyen realiti dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan profil awam Trump melalui "The Apprentice".
Dalam peranan baharunya, Burnett akan bertindak sebagai perunding dan penasihat bagi inisiatif utama AS-UK, berbeza daripada tugas Warren Stephens, calon duta AS ke UK yang dipilih Trump.
"Saya amat berbesar hati untuk berkhidmat kepada Amerika Syarikat dan Presiden Trump sebagai Utusan Khasnya ke United Kingdom," kata Burnett melalui jurucakapnya.
Walaupun hubungan Burnett dengan Trump sering menarik perhatian, termasuk gesaan untuk mendedahkan rakaman "The Apprentice" ketika kontroversi terdahulu, pelantikannya ini menandakan kerjasama baharu dengan presiden terpilih.
--BERNAMA-AA
#Donald Trump #Mark Burnett #utusan khas #UK
;