Trump pilih peguam perdagangan Jamieson Greer sebagai wakil perdagangan AS
Bernama
November 27, 2024 23:41 MYT
November 27, 2024 23:41 MYT
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau memilih Jamieson Greer, seorang peguam perdagangan untuk menjadi wakil perdagangan AS yang seterusnya, melengkapkan pemilihan pasukan ekonominya, lapor Xinhua.
"Jamieson akan memberi tumpuan kepada Pejabat Wakil Perdagangan AS untuk mengawal defisit perdagangan besar negara, mempertahankan sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan Amerika, serta membuka pasaran eksport di mana-mana," kata Trump dalam satu kenyataan di platform media sosialnya, Truth Social.
Trump juga memilih Kevin Hassett, seorang penasihat yang sudah lama berkhidmat, yang juga seorang felo dalam bidang ekonomi di Hoover Institution, Universiti Stanford untuk mengetuai Majlis Ekonomi Kebangsaan. Jawatan itu tidak memerlukan kelulusan Senat.
Dari 2017 hingga 2019, Hassett menjadi pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi, panel tiga orang yang mengkaji data ekonomi.
"Hasset memainkan peranan penting dalam membantu merancang dan meluluskan Akta Potongan Cukai dan Pekerjaan 2017," kata Trump dalam satu kenyataan. Hassett kembali ke Rumah Putih pada 2020 untuk berkhidmat sebagai penasihat kanan Trump.
Selain itu, Trump memilih Vince Haley, yang pernah berkhidmat sebagai penulis ucapan dan penasihat semasa penggal pertama beliau dan sepanjang kempen menjadi presiden, untuk mengetuai Majlis Dasar Domestik. Jawatan itu tidak memerlukan kelulusan Senat.
Pasukan ekonomi Trump sudah dibentuk. Minggu lalu, beliau memilih pengurus dana lindung nilai Scott Bessent untuk menjadi setiausaha perbendaharaan yang seterusnya. Beliau memilih Howard Lutnick, Ketua Pegawai Eksekutif firma perkhidmatan kewangan Cantor Fitzgerald, untuk menjadi setiausaha perdagangan. Wakil perdagangan, setiausaha perbendaharaan dan setiausaha perdagangan adalah jawatan di peringkat Kabinet yang memerlukan pengesahan Senat.
-- BERNAMA