Trump pencatur setiap tindakan Israel - Prof Kamaruzzaman

Astro Awani
Mac 2, 2025 18:28 MYT
Trump disifatkan sebagai pencatur yang membuat keputusan dalam setiap tindak tanduk tentera Israel ketika ini. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump disifatkan sebagai pencatur yang membuat keputusan dalam setiap tindak-tanduk tentera Israel ketika ini.
Prof Adjung Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Kamaruzzaman Yusof menyifatkan tindakan Trump sangat berbeza ketika sebelum Presiden Joe Biden meninggalkan White House pada 20 Januari lepas.
"Apabila Israel menyebut dengan jelas, walaupun perjanjian ditangguhkan kita tidak dapat bayangkan, wakil mereka telah berada di Kaherah pada Jumaat, tiba-tiba hari Sabtu, diminta keluar dan balik untuk tidak meneruskan perbincangan yang sepatutnya diadakan pada hari ini (Ahad). Itu juga satu keadaan yang sangat memeningkan kepala pengkaji dan penganalisa.
"Walaupun mereka kata perbincangan pusingan kedua telah ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya sebulan kononnya kerana menghormati bulan Ramadan tetapi masa yang sama mereka juga menyebut dengan jelas, iaitu 24 orang tahanan perang yang masih berada pada Hamas itu mestilah dilepaskan pada setiap minggu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Trump pencatur setiap tindakan Israel - Prof Kamaruzzaman
Tambahnya, situasi ini dilihat sebagai amat berat sebelah yang menyebabkan kecelaruan terhadap pemimpin Hamas dan juga penduduk Gaza ketika ini.
Terdahulu, Rundingan Kaherah mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata antara gerakan penentangan Palestin Hamas dan rejim Israel dilaporkan telah gagal.
Memetik saluran televisyen berita satelit Al Mayadeen, pegawai Palestin yang tidak dinamakan berkata bahawa Israel sengaja menangguhkan untuk memanjangkan fasa pertama perjanjian sambil secara beransur-ansur memastikan pembebasan tahanannya.
#Hamas #White House #gencatan senjata #Rundingan Kaherah
;