Trump pecat Ketua Setiausaha Negara Rex Tillerson, umum Mike Pompeo pengganti
Agensi
Mac 13, 2018 21:08 MYT
Mac 13, 2018 21:08 MYT
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Selasa mengumumkan pemecatan Ketua Setiausaha Negara itu, Rex Tillerson.
Tillerson digantikan dengan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Mike Pompeo.
Gina Haspel akan mengambil alih jawatan Pompeo, wanita pertama yang dilantik ke jawatan tertinggi itu.
"Mike Pompeo, Pengarah CIA akan menjadi Setiausaha Negara yang baharu. Dia akan melaksanakan tugas dengan cemerlang! Terima kasih Rex Tillerson untuk khidmat anda! Gina Haspel akan dilantik menjadi Pengarah CIA yang baharu, wanita pertama yang dilantik. Tahniah semua!" tulis Trump dalam twitter.
"Kami tidak sekepala" - Trump
PemecatanTillerson mengakhiri ketegangan berbulan-bulan antara Presiden Trump dan bekas Ketua Eksekutif Exxon Mobil yang berusia 65 tahun itu.
Trump berkata dia dan Tillerson bercanggah pendapat dalam banyak polisi negara termasuk berhubung perjanjian nuklear Iran.
"Saya dan Tillerson tidak sependapat," kata Trump. "Dengan Mike, kami mempunyai proses berfikir yang sama."
Isnin lalu, Tillerson menyalahkan Rusia sebagai punca kematian ejen dua muka Rusia dan anak perempuannya akibat diracun di England.
Tillerson dikatakan pernah menggelar Trump sebagai 'bongok' secara peribadi pada Julai, selepas presiden AS itu mencadangkan peningkatan 10 kali ganda senjata nuklear negara itu. Tillerson bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada dia ada mengeluarkan kenyataan itu.
Seorang jurucakap White House berkata Trump telah meminta Tillerson untuk meletakkan jawatan Jumaat lalu namun enggan mengumumkannya kepada umum.
Hari ini pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas Tillerson pulang dari luar negara.
Pegawai White House berkata, Trump mampu bekerjasama rapat dengan Pompeo, bekas ahli kongres dari Kansas.
Pelantikan itu tepat pada masanya sewaktu Trump dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan di tengah-tengah rundingan perdagangan yang sedang berlangsung.