Trump namakan Steven Witkoff sebagai utusan khas ke Asia Barat
Bernama
November 13, 2024 11:30 MYT
November 13, 2024 11:30 MYT
WASHINGTON: Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mengumumkan bahawa beliau telah memilih Steven Witkoff, seorang pelabur hartanah terkemuka dan penderma kempen, sebagai utusan khasnya ke Asia Barat.
"Steve ialah pemimpin yang sangat dihormati dalam perniagaan dan dermawan yang telah menjadikan setiap projek dan komuniti disertainya dengan lebih kuat dan lebih makmur. Steve akan menjadi suara yang teguh untuk keamanan, dan akan membuat kita semua berbangga," kata Trump dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.
Witkoff, pengasas, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif firma hartanah Witkoff Group, mempunyai pengalaman berdekad-dekad dalam pembangunan dan pelaburan hartanah.
Witkoff, seorang penderma dan penyokong Trump yang terkenal, dilaporkan bermain golf bersama Trump di resort Mar-a-Lago semasa cubaan bunuh kedua terhadap bekas presiden itu pada September.
Dalam temu bual bersama Fox News pada Julai, Witkoff menyifatkan ucapan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Kongres sebagai "kuat" dan menyatakan bahawa ia adalah pengalaman "epik" berada di bilik itu.
Beliau juga mengkritik anggota Demokrat yang memilih untuk memboikot ucapan itu.
-- BERNAMA