Trump namakan bapa mentua anak perempuannya sebagai penasihat kanan di Asia Barat

Bernama
Disember 2, 2024 16:47 MYT
Massad Boulos adalah satu lagi nama daripada keluarga rapat Trump yang akan bekerjasama dalam penggal kedua beliau yang akan datang. - AP
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Ahad bahawa ahli perniagaan keturunan Lubnan-Amerika Massad Boulos akan berkhidmat sebagai penasihat kanan beliau untuk hal ehwal Arab dan Asia Barat, lapor Agensi Anadolu (AA).
Trump berkata di platform Truth Social beliau bahawa Massad, yang juga bapa mentua kepada anak perempuannya, Tiffany, "merupakan seorang peguam yang berjaya dan pemimpin yang amat dihormati dalam dunia perniagaan, dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa."
"Beliau telah lama menjadi penyokong nilai-nilai Republikan dan Konservatif, aset kepada kempen saya dan memainkan peranan penting dalam membina gabungan baharu yang hebat dengan masyarakat Arab Amerika," tambahnya.
"Massad adalah pengatur perjanjian dan penyokong teguh keamanan di Asia Barat. Dia akan menjadi penyokong kuat untuk Amerika Syarikat dan kepentingannya, dan saya gembira beliau berada dalam pasukan kami!" catatnya.
Boulos adalah satu lagi nama daripada keluarga rapat Trump yang akan bekerjasama dalam penggal kedua beliau yang akan datang.
Pada Sabtu, Trump mengumumkan bahawa beliau mencalonkan Charles Kushner, seorang ahli perniagaan terkemuka dari New Jersey, untuk bertugas sebagai duta besar ke Perancis.
Kushner adalah bapa kepada Jared Kushner, menantu Trump yang berkhidmat sebagai penasihat kanan semasa pemerintahan beliau.
-- BERNAMA
#Donald Trump #penasihat kanan #Massad Boulos #pentadbiran #Asia Barat
;