Trump menang kerana kelas menengah marah, meluat dengan sistem sedia ada - Sanders

Astro Awani
November 10, 2016 21:24 MYT
Menurut Sanders, beliau akan terus bersuara dan menentang Trump sekiranya presiden baharu itu memilih jalan perkauman, xenofobia dan seksis. - Foto AFP
SENATOR Bernie Sanders dari Demokrat hanya akan bekerjasama dengan bakal presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk merangka dasar bagi membantu golongan kelas menengah.
Menurut Sanders, beliau akan terus bersuara dan menentang Trump sekiranya presiden baharu itu memilih jalan perkauman, xenofobia dan seksis.
"Saya dan kumpulan progresif yang lain sedia membantu sekiranya Trump serius meneruskan dasar untuk meningkatkan taraf kehidupan keluarga daripada kelas menengah," kata Sanders dalam kenyataan sebagai mengulas kemenangan Trump semalam.
Tambah Sanders, Trump berjaya dalam saingan menuju ke White House apabila memanfaatkan sentimen kebencian yang menebal dalam kalangan kelas menengah.
"Kelas menengah meluat dengan ekonomi, politik dan media sedia ada."
"Masyarakat sudah letih dengan tempoh kerja yang panjang tetapi gaji yang kecil, banyak peluang kerja diwujudkan di China dan negara lain, golongan kaya pula jadi lebih kaya," kata Sanders.
Kekecewaan warga AS terhadap ekonomi dan tahap kualiti hidup yang rendah antara tema Sanders semasa kempen merebut calon Presiden untuk Demokrat.
Penganalisis sebelum ini berpendapat beliau adalah calon lebih sesuai dari Demokrat untuk berhadapan dengan Trump kerana lebih memahami sentimen kelas menengah.
#Amerika Syarikat #Bernie Sanders #Donald Trump #kelas menengah #presiden as
;