Trump masih jalani rawatan, belum serah tugas kepada naib presiden
Agensi
Oktober 2, 2020 06:30 MYT
Oktober 2, 2020 06:30 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan dibawa ke Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed pada Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga, seorang pegawai kanan pentadbiran mengesahkan kepada NBC News.
Langkah itu disyorkan oleh doktor, kata pegawai itu, dan beliau dijangka bekerja dari hospital selama beberapa hari.
Trump dilaporkan mengalami demam tahap rendah dan keletihan.
Doktor memaklumkan beliau telah diberikan antibodi dan vitamin.
Isteri Trump, Melania mengalami batuk dan sakit kepala yang ringan.
Trump, yang berusia 74 tahun dan mempunyai berat badan berlebihan, berisiko tinggi mendapat komplikasi virus kerana usia dan berat badannya.
Trump mempunyai berat kira-kira 100 kilogram dan tinggi sekitar 185 sentimeter, menurut penilaian kesihatan yang diumumkan pada bulan Jun.
Doktornya mengesahkan Trump secara keseluruhannya tidak mempunyai masalah kesihatan.
Kuasa presiden bagaimanapun belum dipindahkan kepada naib presiden, kata Pengarah Komunikasi White House, Alyssa Farah.
"Presiden masih memegang kuasa dan bertanggungjawab," katanya.
Trump dan isterinya disahkan positif COVID-19 pada Jumaat.