Trump mahu hadkan permohonan bagi pencari suaka

Astro Awani
November 2, 2018 08:27 MYT
President Donald Trump bercakap kepada pemberita di perkarangan White House, 31 Okt, 2018. (Foto AP)
Presiden Donald Trump mengumumkan pelan untuk mengehadkan permohonan bagi pencari suaka, sambil menjelaskan, tiada negara yang boleh membenarkan sempadannya dibanjiri pendatang.
Merujuk kepada migran karavan yang mengembara dari Amerika Tengah ke Amerika Syarikat yang disifatkannya ancaman berbahaya, Trump menegaskan, golongan itu bukan pencari suaka yang sah.
"Di bawah pelan ini, pendatang asing tidak lagi mendapat pas percuma ke negara kita dengan memohon suaka. Sebaliknya, migran yang memohon suaka perlu mengemukakan sebab yang kukuh di pintu masuk.
"Mereka yang menyalahi peraturan tidak lagi boleh menggunakan alasan merit untuk mendapat kemasukan percuma ke Amerika. Kami akan menahan mereka selama mana yang mungkin.
"Satu-satunya penyelesaian jangka panjang krisis ini dan cara untuk memastikan negara kita terus berdaulat adalah dengan Kongres menangani arahan sempadan terbuka," katanya di White House.
Cadangan Trump ini bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada terpakai kepada migran karavan sahaja atau semua warga asing yang mahu memasuki Amerika Syarikat.
Ia bagaimanapun bercanggah dengan Akta Imigresen dan Kewarganegaraan.
Klausa akta itu dengan jelas menyatakan, sesiapa sahaja yang memasuki Amerika Syarikat boleh memohon suaka.
Sebarang perubahan akta hanya boleh dipertikaikan di mahkamah.
#Amerika Syarikat #Amerika Tengah #Donald Trump #Imigresen #karavan #migran #pendatang #sempadan terbuka #suaka #warga asing
;