Trump mahu Gaza: Gunakan mekanisme bidang kuasa universal dakwa Netanyahu, Israel - CENTHRA
Irfan Faruqi
Februari 6, 2025 21:40 MYT
Februari 6, 2025 21:40 MYT
Azril berkata mekanisme itu merupakan satu prinsip yang telah diiktiraf di peringkat PBB. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Mekanisme bidang kuasa universal boleh digunakan untuk mendakwa dan memastikan tindakan undang-undang dikenakan kepada Benjamin Netanyahu serta pegawai-pegawai Israel.
Ringkasan AI
- Penggunaan Bidang Kuasa Universal: Mekanisme ini boleh digunakan untuk mendakwa Benjamin Netanyahu dan pegawai-pegawai Israel, dan ia diiktiraf di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Tindakan Perundangan di Peringkat Nasional: Tindakan undang-undang boleh dilakukan di peringkat bidang kuasa nasional, bukan hanya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), termasuk di Malaysia. Inisiatif Gabungan Global: Gabungan Global Menentang Pendudukan Palestin mengenalpasti hantaran media sosial tentera Israel yang terlibat dengan genosid di Gaza untuk tindakan undang-undang, dan memastikan tindakan diambil jika Netanyahu atau Yoav Gallant memasuki negara yang menandatangani Statut Rom.
Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata mekanisme itu merupakan satu prinsip yang telah diiktiraf di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Tindakan-tindakan perundangan yang boleh dilakukan di peringkat bidang kuasa nasional, bukan semata-mata di peringkat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Kita mahu pastikan mana-mana negara, termasuk Malaysia, yang menghormati prinsip bidang kuasa universal. Berdasarkan Tatacara Prosiding Jenayah, kita boleh memohon untuk Peguam Negara ambil tindakan terhadap mereka yang mengancam keselamatan negara.
“Dalam kes ini, contohnya, aset-aset dan bangunan-bangunan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang dihancurkan, kita boleh ambil tindakan terhadap jeneral-jeneral tentera Israel di Mahkamah Malaysia. Itu prinsip bidang kuasa universal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Walaupun begitu, Azril menjelaskan bahawa mekanisme ini belum lagi diuji kebolehlaksanaan.
Beliau juga berkongsi inisiatif Gabungan Global Menentang Pendudukan Palestin yang bermesyuarat pada 25 Januari di Istanbul yang telah mengenalpasti sebarang hantaran media sosial orang anggota tentera Israel yang terlibat dengan genosid di Gaza untuk diambil tindakan undang-undang.
“Selain itu, sekiranya Netanyahu atau Yoav Gallant (Bekas Menteri Pertahanan Israel) masuk ke negara yang menandatangani Statut Rom, kita akan pastikan ada tindakan sehingga mereka ditangkap,” ujarnya lagi.