Trump lantik doktor selebriti, Dr Oz ketuai program insurans kesihatan Amerika
Agensi
November 20, 2024 09:15 MYT
November 20, 2024 09:15 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) terpilih, Donald Trump mengumumkan pelantikan Dr Mehmet Oz, pakar bedah dan selebriti TV yang dikenali sebagai "Dr Oz", untuk mengetuai program insurans kesihatan awam besar-besaran negara itu.
Pakar bedah jantung berusia 64 tahun itu meraih populariti selepas diperkenalkan oleh personaliti tersohor dunia, Oprah Winfrey sebelum bertindak menyertai politik dengan cubaan mencalonkan diri sebagai senator oada 2022, namun, tidak berjaya.
Dr Oz merupakan pencalonan terbaharu Trump yang menarik perhatian untuk jawatan penting, termasuk hos Fox News, Pete Hegseth sebagai Setiausaha Pertahanan, Robert F Kennedy Jr (Setiausaha Kesihatan) dan jutawan Elon Musk untuk mengetuai unit penjimatan kos kerajaan.
"Amerika sedang menghadapi krisis penjagaan kesihatan dan mungkin tiada pakar perubatan yang lebih layak dan berkebolehan daripada Dr Oz untuk menjadikan Amerika sihat semula," kata Trump di platform Truth Socialnya.
Dr Oz pernah menjadi tumpuan Amerika apabila cadangan kesihatannya - terutamanya mengenai COVID-19 dan penurunan berat badan - sering diejek oleh komuniti perubatan akan menerajui Pusat Perkhidmatan Medicare dan Medicaid (CMS) Amerika Syarikat.
Sebagai pentadbir CMS, Dr Oz akan bertanggungjawab ke atas sebuah agensi Persekutuan yang menyediakan perlindungan kesihatan kepada lebih 160 juta rakyat Amerika - hampir separuh daripada penduduk negara itu.
CMS juga menggaji kira-kira 6,700 orang, mempunyai perbelanjaan sebanyak AS$1.48 trilion tahun lepas dan merupakan antara pembeli perkhidmatan penjagaan kesihatan terbesar di dunia.
Seorang anak kepada pendatang Turkiye, Dr Oz tidak pernah memegang jawatan awam sebelum ini, tetapi telah menjadi sekutu Trump yang menyokongnya dalam kempen Senatnya yang tidak berjaya di Pennsylvania. - Agensi