Trump kerah 1,500 tentera ke sempadan AS-Mexico
Bernama
Januari 23, 2025 12:30 MYT
Januari 23, 2025 12:30 MYT
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Rabu mengarahkan pergerakan 1,500 anggota tentera ke sempadan Amerika Syarikat-Mexico (AS-Mexico) selepas menandatangani perintah eksekutif baharu yang melarang kemasukan apa yang dipanggilnya sebagai "orang asing yang terlibat dalam pencerobohan ke Amerika Syarikat melalui sempadan selatan", lapor Agensi Anadolu (AA).
Ringkasan AI
- Presiden Donald Trump mengarahkan pergerakan 1,500 anggota tentera ke sempadan AS-Mexico untuk menyokong kontinjen 2,200 anggota aktif yang sudah berada di sana, menjalankan tugas logistik dan pentadbiran.
- Trump menandatangani perintah eksekutif yang melarang kemasukan "orang asing yang terlibat dalam pencerobohan" dan mengisytiharkan darurat negara di sempadan AS-Mexico.
- Perintah ini memberikan kuasa kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Kehakiman, dan Jabatan Negara untuk segera menghalau, menghantar pulang, dan mengusir pendatang asing tanpa izin.
Penambahan tentera itu akan menyokong kontinjen kira-kira 2,200 anggota aktif yang sudah berada di sempadan, menjalankan tugas logistik dan pentadbiran.
Tentera AS biasanya dilarang daripada melaksanakan penguatkuasaan undang-undang domestik di bawah undang-undang 1878 yang dikenali sebagai Akta Posse Comitatus. Bagaimanapun, Trump dalam perintah yang ditandatanganinya pada Isnin berkata beliau akan memutuskan dalam tempoh 90 hari sama ada akan menggunakan Akta Pemberontakan untuk mengetepikan undang-undang itu.
Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt memberitahu pemberita bahawa "rakyat Amerika telah menunggu masa seperti ini -- untuk Jabatan Pertahanan benar-benar mengambil serius isu keselamatan tanah air".
"Ini adalah keutamaan nombor satu rakyat Amerika, dan presiden telah pun menunaikannya," katanya.
Leavitt bagaimanapun tidak menghuraikan tugas yang akan dilakukan oleh tentera AS itu.
Pada Isnin, Trump menandatangani beberapa perintah baharu yang bertujuan untuk mengetatkan kawalan ke atas migrasi, termasuk mengisytiharkan darurat negara di sempadan AS-Mexico.
Usaha terbaharunya untuk menutup sempadan itu memberikan kuasa kepada "Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Kehakiman, dan Jabatan Negara untuk mengambil semua tindakan yang perlu bagi segera menghalau, menghantar pulang dan mengusir pendatang asing tanpa izin di sempadan selatan Amerika Syarikat," menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.
"Menerusi penggunaan kuasanya, Presiden Trump telah mengehadkan lagi akses kepada peruntukan undang-undang imigresen yang membolehkan mana-mana pendatang haram yang terlibat dalam pencerobohan merentasi sempadan selatan Amerika Syarikat untuk kekal di negara ini, seperti suaka," tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA