Trump kenakan tarif baharu ke atas Mexico, Kanada dan China mulai hari ini - White House
Agensi
Januari 31, 2025 07:15 MYT
Januari 31, 2025 07:15 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan meneruskan pelaksanaan tarif baharu yang agresif ke atas Kanada, Mexico dan China hari ini, menurut White House.
Pentadbiran AS turut mengesahkan Trump akan berpegang kepada tarikh akhir 1 Februari untuk duti baharu yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi.
"Saya boleh mengesahkan bahawa esok, tarikh akhir 1 Februari yang ditetapkan oleh Presiden Trump melalui satu kenyataan beberapa minggu lalu akan terus berkuat kuasa," kata Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, dalam satu taklimat pada Jumaat.
Pegawai Kanada bertemu dengan ketua sempadan White House, Tom Homan, pada hari Jumaat dalam usaha mencapai perjanjian bagi mengelakkan tarif yang dicadangkan, menurut dua sumber yang mengetahui pertemuan itu.
Namun, pengesahan Leavitt mengenai tarif baharu itu nampaknya menamatkan spekulasi sama ada Presiden akan menunaikan janjinya sebagai calon untuk mengenakan duti baharu tersebut.
Beliau memaklumkan, tarif itu akan melibatkan duti sebanyak 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada serta tarif 10 peratus ke atas China "kerana fentanyl haram yang mereka bekalkan dan benarkan untuk diedarkan ke negara kami telah membunuh puluhan juta rakyat Amerika."
"Ini adalah janji yang dibuat dan janji yang ditepati oleh Presiden," kata Leavitt.
Leavitt, bagaimanapun, enggan memberikan butiran tambahan mengenai tarif baharu itu, termasuk sama ada ia akan dikenakan ke atas import minyak atau jika terdapat pengecualian tambahan.
Beliau juga tidak memberikan butiran mengenai cara pelaksanaan tarif tersebut, hanya menyatakan bahawa butiran penuh akan tersedia untuk tatapan umum dalam tempoh 24 jam akan datang.
Dalam masa sama, beliau tidak menyatakan sama ada tarif itu akan dikenakan ke atas import minyak atau jika terdapat pengecualian lain.
Mengenakan tarif yang besar ke atas rakan dagangan utama AS merupakan satu pertaruhan bahawa cukai ke atas syarikat Amerika untuk barangan yang diimport akhirnya akan menghukum negara yang menghasilkan barangan yang dikehendaki rakyat Amerika - dan membawa negara-negara tersebut ke meja rundingan.
Namun, ia juga merupakan pertaruhan berisiko yang boleh memberi kesan buruk kepada pengguna Amerika dan ekonomi negara itu.
Trump minggu ini menolak idea bahawa pengguna Amerika bergantung kepada import dari dua negara jirannya di Amerika Utara.
"Kita tidak memerlukan apa yang mereka ada," kata Trump, merujuk kepada Kanada dan Mexico.
Ahli ekonomi secara umumnya percaya bahawa dalam keadaan tertentu, tarif boleh menjadi alat yang berkesan untuk pertumbuhan ekonomi.
Trump telah menggunakan dan berjanji untuk menggunakan tarif bagi tiga tujuan utama: meningkatkan pendapatan, mengimbangi perdagangan dan membawa negara pesaing ke meja rundingan.
Presiden Trump turut menegaskan, beliau mahu Kanada dan Mexico menghentikan aliran pendatang tanpa dokumen dan dadah haram ke Amerika Syarikat.
Bagi China pula, Trump berkata, tarif bertujuan untuk memaksa negara itu menunaikan janji yang dibuat kepadanya bahawa kerajaan China akan menghukum mati individu yang didapati menghantar fentanyl ke AS.
Presiden Mexico pada Jumaat memaklumkan, negaranya menunggu sebarang potensi tarif dari AS dengan "penuh ketenangan."
"Kami mempunyai Pelan A, Pelan B, dan Pelan C untuk apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kerajaan AS.
“Adalah sangat penting bagi rakyat Mexico untuk mengetahui bahawa kami akan sentiasa mempertahankan maruah rakyat kami, kedaulatan kami, dan berunding secara setara," kata Presiden Claudia Sheinbaum kepada wartawan dalam satu sidang akhbar harian.
"Tidak ada sesiapa - di kedua-dua belah sempadan - yang mahu melihat tarif Amerika dikenakan ke atas barangan Kanada," kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, pada petang Jumaat dalam satu kenyataan di X.
"Saya telah bertemu dengan Majlis Kanada-AS kami hari ini. Kami sedang berusaha keras untuk menghalang tarif ini, tetapi jika Amerika Syarikat meneruskannya, Kanada bersedia dengan tindak balas yang tegas dan serta-merta," tambahnya.
Delegasi pegawai kanan Kanada telah berada di Washington selama beberapa hari, bertemu dengan pelbagai pegawai pentadbiran bagi cuba menghalang pengenaan tarif 25 peratus.
Usaha Kanada secara tertutup ini boleh menjadi lebih agresif jika tarif tersebut dikuatkuasakan.
Ketua-ketua wilayah dari seluruh Kanada - diketuai oleh Perdana Menteri Ontario, Doug Ford - merancang untuk ke Washington pada 12 Februari untuk satu misi yang lebih besar.
Dalam keadaan tertentu, tarif tidak menyebabkan masalah inflasi. Tarif yang dikenakan oleh Trump semasa penggal pertamanya tidak secara signifikan meningkatkan inflasi, walaupun skopnya jauh lebih kecil berbanding apa yang dicadangkannya sekarang dan pandemik COVID-19 telah mempengaruhi beberapa aspek inflasi yang berkaitan dengan tarif - banyak daripadanya masih kekal semasa pentadbiran Joe Biden.
Namun, kebanyakan ahli ekonomi utama bersetuju bahawa tarif menyebabkan inflasi.
Ini kerana cukai itu sebenarnya dibayar oleh pengimport - bukan oleh negara pengeksport barangan tersebut - dan kos itu biasanya dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih tinggi.
Penyelidikan baharu dari Peterson Institute for International Economics menunjukkan bahawa kempen tarif agresif Trump akan memaksa pengguna Amerika membayar lebih untuk hampir semua barangan - dari kasut dan mainan buatan luar negara hingga makanan.
Cadangan tarif Trump boleh menambah beban cukai sebanyak AS$272 bilion setahun, menurut Karl Schamotta, ketua strategi pasaran di Corpay Cross-Border Solutions.
Peterson Institute menganggarkan, tarif yang dicadangkan oleh Trump akan menelan kos lebih AS$2,600 setahun bagi setiap isi rumah Amerika.
Namun begitu, beberapa penyokong rancangan Trump percaya risiko ini berbaloi.
Jamie Dimon, Ketua Pegawai Eksekutif JPMorgan, minggu lalu memberitahu CNBC, jika tarif menyebabkan sedikit inflasi tetapi menyelesaikan isu keselamatan negara, maka orang ramai sepatutnya "terima sahaja." - Agensi