Trump kembali ke White House selepas 6 hari dijangkiti COVID-19
Afiq Ariffin
Oktober 8, 2020 08:04 MYT
Oktober 8, 2020 08:04 MYT
WASHINGTON: Biarpun baru enam hari terkena jangkitan COVID-19, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilapor kembali menjalankan tugasnya di Oval Office, White House pada Rabu.
Menurut jurucakap rasminya, Brian Morgenstern, Trump kini sedang giat melakukan persiapan dan perbincangan berkaitan pakej rangsangan ekonomi AS serta melihat perkembangan Taufan Delta yang sedang menuju ke negara itu.
Bagaimanapun, Trump juga dilapor masih dalam pengawasan kesihatan.
Tindakannya untuk kembali ke pejabat juga menimbulkan kontroversi kerana penularan dalam kalangan kakitangan di White House juga dilapor kian meningkat.
"Jangan biarkan perkara itu (COVID-19) membimbangkan anda. Jangan takut," kata Trump selepas turun dari sebuah helikopter di White House, sebelum menaiki tangga menggunakan pelitup muka.
Pada Rabu, doktor yang merawat Trump, Sean Conley melaporkan bahawa presiden AS itu telah bebas dari gejala COVID-19 dan tidak demam selama empat hari berturut-turut.
Terdahulu, Trump berjanji untuk segera kembali ke pejabat bagi melakukan persiapan sempena debat presiden kedua melawan Joe Biden di Miami pada 15 Oktober depan.
#Donald Trump
#AS
#White House
#Amerika Syarikat
#koronavirus
#debat presiden
#Oval Office
#COVID-19
#Brian Morgenstern
#pakej rangsangan ekonomi