Trump janji batal beberapa perintah eksekutif Biden selepas angkat sumpah
Bernama
Januari 20, 2025 15:32 MYT
Januari 20, 2025 15:32 MYT
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad mengumumkan bahawa beliau akan membatalkan beberapa perintah eksekutif pentadbiran Joe Biden selepas beberapa jam mengangkat sumpah sebagai presiden pada Isnin, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Donald Trump mengumumkan akan membatalkan beberapa perintah eksekutif pentadbiran Joe Biden sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai presiden pada Isnin.
- Trump akan menandatangani perintah eksekutif yang meliputi keselamatan sempadan, tenaga, perbelanjaan kerajaan persekutuan, TikTok, dan program DEI (Kepelbagaian, Keadilan dan Inklusi).
- Trump dijangka menandatangani lebih 100 perintah eksekutif pada hari pelantikannya, yang akan diadakan di dalam bangunan kerana cuaca sejuk di Washington, kali pertama dalam tempoh empat dekad.
"Setiap perintah eksekutif radikal dan tidak wajar daripada pentadbiran Biden akan dibatalkan dalam beberapa jam selepas saya mengangkat sumpah jawatan," kata Trump kepada penyokongnya di satu perhimpunan kemenangan di Capital One Arena di Washington.
Trump berkata perintah eksekutif yang akan beliau tandatangani akan merangkumi bidang seperti keselamatan sempadan, tenaga, perbelanjaan kerajaan persekutuan, platform perkongsian video pendek TikTok, dan program DEI (Kepelbagaian, Keadilan dan Inklusi).
"Esok pada tengah hari, kita akan menutup babak empat tahun kemerosotan panjang Amerika dan membuka lembaran baharu yang penuh kekuatan, kemakmuran, maruah dan kebanggaan Amerika," kata bakal presiden itu.
Menurut laporan media AS, Trump dijangka menandatangani lebih 100 perintah eksekutif pada hari pelantikannya.
Trump akan mengangkat sumpah jawatan pada tengah hari Isnin. Disebabkan cuaca sejuk yang diramalkan di Washington, upacara itu akan diadakan di dalam bangunan - kali pertama dalam tempoh empat dekad di Amerika Syarikat.
-- BERNAMA