Trump jangka bertemu Putin di Arab Saudi

Agensi
Februari 12, 2025 07:20 MYT
Presiden Donald Trump berkata, beliau dan Presiden Vladimir Putin berkemungkinan besar dijangka bertemu di Arab Saudi.
MOSCOW: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau dan Presiden Rusia, Vladimir Putin berkemungkinan besar dijangka bertemu di Arab Saudi.
Bagaimanapun, bila pertemuan itu akan diadakan belum dimaklumkan, tetapi Trump berkata, ia akan berlangsung "dalam masa terdekat."
"Kami akhirnya menjangka akan bertemu," kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval, di sini, pada Rabu.
"Malah, kami menjangka bahawa beliau akan datang ke sini, dan saya akan pergi ke sana, dan kami juga akan bertemu, kemungkinan besar di Arab Saudi. Kali pertama kami akan bertemu di Arab Saudi."
Terdahulu, Trump dan Putin berbual di telefon dan menyifatkan perbualan lebih sejam itu itu sangat baik.
Dalam perbualan itu juga, Presiden Putin telah menjemput Presiden Trump untuk melawat Moscow, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kremlin.
Semasa panggilan itu, Putin “menyatakan kesediaannya” untuk menerima pegawai Amerika Syarikat (AS) dan menyokong kenyataan Trump sudah tiba masanya bagi kedua-dua negara untuk “bekerjasama,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, kepada wartawan.
Peskov turut memaklumkan, Trump menyuarakan hasratnya untuk menamatkan “permusuhan di Ukraine secepat mungkin.”
Presiden AS terakhir yang melawat Rusia ialah Barack Obama, ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di St. Petersburg pada tahun 2013. - Agensi
#Donald Trump #Vladimir Putin #panggilan telefon Putin #konflik Rusia-Ukraine
;