Trump, Harris raih kemenangan awal ketika lebih banyak pusat mengundi AS ditutup

Bernama
November 6, 2024 13:40 MYT
Trump kini mendahului Harris dalam persaingan untuk mencapai 270 undi Badan Perwakilan Pemilih atau Electoral College dengan kedudukan 198-112. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Calon Republikan Donald Trump dan pencabarnya dari Demokrat Kamala Harris, memperoleh beberapa kemenangan awal pada petang Selasa ketika lebih banyak pusat mengundi di seluruh Amerika Syarikat (AS) ditutup, lapor Agensi Anadolu.
Trump kini mendahului Harris dalam persaingan untuk mencapai 270 undi Badan Perwakilan Pemilih atau Electoral College dengan kedudukan 198-112. Naib Presiden itu baru-baru ini menambah Colorado dan Washington, D.C. ke dalam senarai kemenangannya, sementara Trump memperoleh kemenangan di Missouri, Montana dan Utah, menurut laporan The Associated Press.
Sebahagian besar wilayah Barat AS, yang Harris dijangka meraih kemenangan besar di sepanjang pantai, masih belum dikira.
Mana-mana calon perlu memperoleh 270 undi Badan Perwakilan Pemilih untuk memenangi pilihan raya. Undi Badan Perwakilan Pemilih diperuntukkan kepada negeri berdasarkan populasi mereka dan kebanyakan negeri memberikan undian kepada calon yang memenangi undi popular di negeri itu.
Namun, model "winner-take-all" ini tidak terpakai di Nebraska dan Maine, yang memperuntukkan undi mereka berdasarkan keputusan di daerah kongres serta pemenang undi popular negeri.
Penutupan pusat mengundi akan diteruskan pada selang setengah jam atau satu jam, dengan penutupan terakhir di Hawaii pada tengah malam Waktu Timur (0500GMT), diikuti Alaska pada 1 pagi Waktu Timur (0600GMT).
Persaingan ini hampir pasti akan ditentukan oleh tujuh negeri utama -- Arizona, Georgia, Michigan, Nevada, North Carolina, Pennsylvania, dan Wisconsin -- yang kedua-dua calon berhadapan dengan perbezaan undian yang kecil dan berada dalam margin kesilapan dalam beberapa tinjauan.
Semua pusat mengundi di negeri berkenaan kini telah ditutup.
Kedua-dua calon menghabiskan minggu terakhir sebelum pilihan raya dengan giat berkempen di negeri penentu. Harris melawat Pennsylvania untuk beberapa siri perhimpunan di pelbagai bandar pada Isnin, manakala Trump berada di sana sebelum mengadakan perhimpunan lewat malam di Grand Rapids, Michigan.
Adalah sangat tidak mungkin bahawa organisasi media utama akan mengumumkan pemenang pada malam Selasa, seperti kebiasaan sehingga 2020, disebabkan persaingan yang sangat sengit di negeri medan pertempuran.
-- BERNAMA
#Pilihan Raya Presiden AS #Donald Trump #Kamala Harris #keputusan awal
;