Trump enggan hadiri upacara rasmi peralihan kuasa

Agensi
Januari 16, 2021 09:06 MYT
Trump akan menjadi presiden keempat dalam sejarah untuk memboikot majlis angkat sumpah penggantinya. - Foto AP Photo/Gerald Herbert
WASHINGTON: Presiden Donald Trump akan meninggalkan Washington pada 20 Januari ini iaitu sebelum majlis angkat sumpah Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Trump enggan menghadiri upacara rasmi peralihan kuasa yang akan diadakan pada Rabu depan.
Sebaliknya, beliau akan mengadakan upacara perpisahan di Joint Base Andrews di Maryland sebelum penerbangan terakhirnya menaiki Air Force One.
Pegawai merancang untuk mengadakan upacara yang dilengkapi dengan hamparan permaidani merah, pancaragam tentera dan tabik 21 pistol (21-gun salute).
Trump akan menjadi presiden keempat dalam sejarah untuk memboikot majlis angkat sumpah penggantinya dan akan meninggalkan Washington dengan masa depannya yang tidak menentu.
Ini susulan kejadian rusuhan yang menyaksikan penyokongnya menyerang Capitol Hill dan mengancam keselamatan kakitangan Kongres dan penggubal undang-undang.
Beliau telah dikecam oleh partinya iaitu Parti Republikan atas reaksinya terhadap keganasan yang berlaku yang menyebabkan lima orang terkorban, termasuk seorang pegawai polis Capitol.
BACA: Insiden Capitol: Trump buka mulut, kecam tindakan penyokong sendiri
BACA: Trump didakwa kali kedua, pertama dalam sejarah Presiden AS
Biarpun setelah berbulan berusaha membatalkan kemenangan Biden dengan tuduhan yang tidak berasas seperti penipuan pengundi dan mendorong penyokongnya untuk bertindak ganas menyerang Capitol Hill, beliau memberi jaminan peralihan kuasa akan berlaku secara aman.
Beliau bukan sahaja tidak mempelawa keluarga Biden ke White House untuk upacara tradisi 'bread-breaking', malah tidak menghubungi Biden menerusi telefon.
Sementara itu, Naib Presiden Mike Pence telah menghubungi Naib Presiden dipilih Kamala Harris pada Khamis untuk memberikan ucapan tahniah dan menawarkan bantuan.
Pence akan menghadiri majlis upacara angkat sumpah pada Rabu depan ia amat dialu-alukan oleh Biden.
#Donald Trump #Washington #Amerika Syarikat #presiden #Joe Biden #White House #Mike Pence #Kamala Harris
;