Trump didakwa kali kedua, pertama dalam sejarah Presiden AS

Astro Awani
Januari 13, 2021 05:48 MYT
Donald Trump menjadi satu-satunya presiden dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) yang berdepan pendakwaan sebanyak dua kali. -Gambar fail
WASHINGTON DC: Donald Trump menjadi satu-satunya presiden dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) yang berdepan pendakwaan sebanyak dua kali.
Kali kedua beliau didakwa kerana menghasut untuk mencetuskan rusuhan maut di Capitol pada Rabu lepas.
Perkara yang membawa kepada pendakwaan kali kedua ialah apabila 10 pemimpin Republikan berpaling tadah bersetuju mengundi untuk mendakwa Trump bersama-sama majoriti pemimpin Demokrat.
Ia menyusul sehari selepas debat di Dewan Perwakilan mengenai perkara tersebut.
Antara lain, pada Rabu, Dewan Perwakilan yang dikuasai Parti Demokrat meluluskan resolusi mendesak Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence menggunakan Seksyen 4 Perkara 25 Perlembagaan untuk menyingkirkan Trump.
Ia diluluskan dengan 220 undi menyokong berbanding 205 menentang.
Dengan perkembangan tersebut, Trump kini berdepan perbicaraan di hadapan Senat di mana prosiding akan berlangsung selepas beliau tidak lagi berada di White House 20 Januari ini.
Trump dituduh menghasut ribuan penyokongnya untuk menggempur bangunan Capitol di mana kongres sedang bersidang minggu lepas mengakibatkan lima orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.
Dalam pada itu, sebilangan besar pemimpin Republikan menyifatkan pendakwaan itu hanya akan terus memecah belahkan negara itu.
Tetapi wakil Demokrat yang juga Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi berkata trump perlu berundur segera kerana sangat jelas beliau adalah seorang pemimpin yang berbahaya kepada negara.
#Donald Trump #didakwa kali kedua #pertama dalam sejarah #presiden as
;