Trump dedah sudah berhubung dengan Presiden China, Xi Jinping sejak kembali ke White House

Agensi
Februari 11, 2025 11:00 MYT
Trump telah berbual dengan Presiden Xi Jinping, sejak kembali memegang jawatan Presiden AS pada 20 Januari lalu, namun tidak mendedahkan butiran topik perbualan mereka. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau telah berbual dengan Presiden China, Xi Jinping, sejak kembali memegang jawatan pada 20 Januari lalu, namun tidak mendedahkan butiran topik perbualan mereka.
Trump berkata demikian dalam wawancara yang disiarkan di Fox News pada Isnin.
"Ya... saya telah bercakap dengannya dan juga dengan pegawai-pegawainya," kata Trump apabila ditanya sama ada beliau telah berbual dengan pemimpin China itu sejak beliau dilantik sebagai Presiden AS.
"Kami mempunyai hubungan peribadi yang sangat baik," tambah Trump.
Presiden itu tidak memberikan maklumat terperinci mengenai bila tepatnya panggilan tersebut dibuat atau perkara yang dibincangkan.
Trump sebelum ini berkata, beliau tidak tergesa-gesa untuk bercakap dengan Jinping bagi meredakan ketegangan dalam perang perdagangan baharu antara dua ekonomi terbesar dunia.
Perbualan antara Jinping dan Trump dilihat penting untuk berpotensi mengurangkan atau menangguhkan tarif perdagangan.
White House dan Kementerian Luar Negeri China tidak segera memberikan sebarang komen berhubung temu bual Trump bersama Fox News.
Trump dan Jinping pernah berbual sebelum Trump memegang jawatan pada Januari lalu, di mana mereka membincangkan beberapa isu termasuk TikTok, perdagangan dan Taiwan.
China baru-baru ini mengenakan tarif bersasar terhadap import dari AS dan memberi amaran kepada beberapa syarikat, termasuk Google milik Alphabet, tentang kemungkinan sekatan sebagai tindak balas terhadap pengenaan tarif 10 peratus oleh Trump, yang dikenakan di samping tarif sedia ada.
Hubungan antara Washington dan Beijing telah tegang selama bertahun-tahun disebabkan perbezaan pendapat dalam isu seperti tarif perdagangan, keselamatan siber, Taiwan, Hong Kong, hak asasi manusia dan COVID-19. - Agensi
#Donald Trump #Xi Jinping #tarif Amerika Syarikat #White House
;