Trump dedah 80,000 halaman dokumen berkaitan pembunuhan JFK
Bernama
Mac 19, 2025 15:15 MYT
Mac 19, 2025 15:15 MYT
Beberapa dokumen masih dirahsiakan kerana tertakluk kepada perintah mahkamah atau berkaitan penyiasatan juri. - Gambar fail/ Reuters
WASHINGTON: Arkib Negara Amerika Syarikat (AS) pada malam Selasa mendedahkan kira-kira 80,000 halaman dokumen rasmi yang diubah status berkaitan pembunuhan Presiden John F Kennedy (JFK) pada 1963, susulan arahan eksekutif oleh Presiden Donald Trump.
Ringkasan AI
- Arkib Negara AS mendedahkan kira-kira 80,000 halaman dokumen rasmi berkaitan pembunuhan Presiden John F. Kennedy pada 1963, susulan arahan eksekutif oleh Presiden Donald Trump.
- Arahan eksekutif yang ditandatangani pada 23 Januari mengarahkan pendedahan penuh baki fail berkenaan tanpa sebarang suntingan, dengan menyatakan ia adalah demi kepentingan awam.
- Beberapa dokumen masih dirahsiakan kerana tertakluk kepada perintah mahkamah atau berkaitan penyiasatan juri.
Dokumen yang dimuat naik ke portal Arkib Negara itu adalah sebahagian daripada usaha lama untuk menerbitkan semua rekod kerajaan berkaitan insiden itu.
Arahan eksekutif Trump yang ditandatangani pada 23 Jan mengarahkan pendedahan penuh baki fail berkenaan, dengan menyatakan ia adalah demi kepentingan awam, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Ia melibatkan kira-kira 80,000 halaman rekod sulit yang akan diterbitkan tanpa sebarang suntingan," menurut Pejabat Pengarah Perisikan Negara dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beberapa dokumen yang tertakluk kepada perintah mahkamah atau berkaitan penyiasatan juri masih dirahsiakan.
Undang-undang yang digubal pada 1992 mengarahkan semua fail berkaitan pembunuhan JFK dikeluarkan selewat-lewatnya pada 26 Okt 2017. Namun, presiden diberi kuasa untuk menangguhkannya sekiranya pendedahan itu boleh menjejaskan keselamatan negara, operasi perisikan, penguatkuasaan undang-undang atau hubungan diplomatik.
Trump ketika penggal pertamanya dan Presiden Joe Biden sepanjang pemerintahannya sebelum ini kerap menunda pelepasan dokumen itu.
"Mereka menunggu selama beberapa dekad. Saya telah berjanji semasa kempen untuk mendedahkannya dan saya seorang yang menepati janji.
"Anda ada banyak bahan untuk dibaca. Saya tidak mahu sebarang suntingan dibuat. Saya katakan, 'jangan sunting. Tidak boleh sunting'," kata Trump kepada pemberita pada Isnin.
Beberapa penganalisis yang mengkaji pembunuhan JFK memberitahu media AS bahawa dokumen baharu ini berkemungkinan tidak mengandungi pendedahan mengejutkan.
Baru-baru ini, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menemukan 2,400 rekod yang belum pernah didedahkan berkaitan pembunuhan itu dalam 14,000 halaman dokumen yang dikaji semula susulan arahan eksekutif Trump pada Januari lalu.
-- BERNAMA