Trump dakwa Taliban sedia berunding
Astro Awani
November 29, 2019 08:54 MYT
November 29, 2019 08:54 MYT
PRESIDEN Donald Trump pada Khamis umum Taliban kini sedia berunding dengan Amerika Syarikat (AS).
Kenyataan itu dibuat ketika ketua negara Uncle Sam itu melawat pasukan tenteranya di Afghanistan sempena sambutan hari kesyukuran.
"Puak Taliban kini mahu berunding. Kita masih menanti sama ada mereka mahu perjanjian.
"Mereka mahu berunding kerana anda semua melakukan tugas yang sangat baik. Itu adalah satu-satunya sebab mengapa mereka mahu berunding.
"Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua tentera Amerika di Afghanistan," kata Trump.
Lawatan ke Afghanistan ini dibuat selepas perjanjian pertukaran tahanan bagi menghidupkan semula prospek rundingan damai.
Trump juga mengumumkan Amerika kini mengurangkan jumlah tentera secara berperingkat.
Ketika ini 13,000 tentera AS masih kekal berkhidmat di Afghanistan.
Jumlah itu dijangka dikurangkan kepada 8,600 orang dalam masa terdekat.