Trump dakwa Demokrat cuba tipu proses pilihan raya presiden
Astro Awani
September 27, 2020 07:28 MYT
September 27, 2020 07:28 MYT
PRESIDEN Donald Trump mengulangi dakwaan beliau bahawa Parti Demokrat cuba melaksanakan penipuan ketika pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 3 November depan.
Dakwaan tersebut dibuat pada Sabtu ketika mengadakan program jelajah sempena kempen di Middletown, Pennsylvania, susulan tindakannya mencalonkan Hakim Amy Coney Barrett bagi jawatan Hakim Mahkamah Agung.
"Dan di beberapa lokasi, mereka menghantar seribu kertas undi. Tetapi, ia digandakan dan semua pengundi di kawasan Demokrat ini mendapat dua kertas undi berbanding hanya satu.
"Kemudian, dua hari lalu, mereka menemui lapan kertas undi di dalam bakul sampah. Malangnya, semua kertas undi ini tertulis nama Trump. Mereka mahu mengundi Trump. Ini adalah undi tentera," katanya.
Trump beberapa minggu ini memilih untuk menimbulkan keraguan terhadap sistem pengundian AS, sehingga enggan komited kepada satu pertukaran kuasa secara aman sekiranya beliau kalah.
Sementara itu, calon presiden bagi Parti Demokrat, Joe Biden mendakwa pencalonan dibuat Trump untuk kerusi Hakim Mahkamah Agung itu, bagi menggantikan Ruth Bader Ginsburg yang meninggal dunia 18 September lalu, seperti memperjudikan nasib rakyat.
Ini termasuk hal berkaitan Akta Penjagaan Kesihatan Mampu Milik.
Katanya, akta itu kini berdepan ketidaktentuan.
"Semalam, sebelum mendiang Ginsburg dikebumikan dan selepas ribuan rakyat Amerika membuang undi, presiden telah menamakan penggantinya.
"Bukan lagi rahsia apa yang sedang berlaku di sini. Presiden Trump cuba membatalkan Akta Penjagaan Kesihatan Mampu Milik. Itulah yang cuba dilakukan beliau sejak empat tahun lalu.
"Presiden Trump boleh mendakwa beliau akan melindungi rakyat dalam keadaan sedia ada, tetapi hakikatnya, beliau sedang berusaha merampas perlindungan ini.
"Sekiranya dibiarkan, lebih 100 juta rakyat yang ketika ini mengalami asma, diabetes dan barah akan sekali lagi dinafikan perlindungan.
"Komplikasi akibat COVID-19, seperti kerosakan jantung, akan jadi satu lagi keadaan kesihatan yang akan digunakan sebagai alasan untuk tidak melindungi jutaan rakyat," katanya ketika berucap di Delaware pada Ahad.
Tumpuan Demokrat terhadap isu kesihatan memberi bayangan strategi mereka untuk kempen kali ini.
#Donald Trump
#Amerika Syarikat
#calon
#meninggal dunia
#penipuan
#pilihan raya presiden
#keraguan
#sistem undian
#Joe Biden
#Ruth Bader Ginsburg
#pengganti
#hakim
#Demokrat
#Amy Coney Barrett
#Mahkamah Agung
#kertas undi
#Akta Penjagaan Kesihatan
#tipu
#bakul sampah