Trump bukan punca keamanan untuk umat Islam – IKMAS UKM

Irfan Faruqi
November 7, 2024 23:17 MYT
Abdul Rahim berkata kejayaan Trump ini perlu menjadi pemangkin negara-negara Islam untuk memperkuat kekuatan sendiri. - foto REUTERS/Carlos Barria
KUALA LUMPUR: Kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024 tidak boleh dilihat sebagai suatu berita baik yang akan membuahkan keamanan di negara-negara Islam.

Ringkasan AI
  • Kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden 2024 dilihat sebagai cabaran kepada negara-negara Islam untuk memperkuat kekuatan sendiri.
  • Kesatuan negara-negara Islam adalah penting untuk menepis pengaruh negatif yang ditanam oleh Amerika Syarikat di Asia Barat.
  • Israel dianggap sebagai alat untuk meluaskan hegemoni Amerika Syarikat di Asia Barat dengan mencetuskan perbalahan antara negara-negara Arab.

Ketua Pusat Pengajian Asia Barat IKMAS UKM, Abdul Rahim Ahmad berkata, kejayaan Trump itu perlu menjadi pemangkin negara-negara Islam untuk memperkuat kekuatan sendiri.
“Itu satu cabaran kepada umat Islam yang tidak patut melihat Trump sebagai punca keamanan di negara-negara Islam. Sebaliknya, kita patut melihat dia sebagai sebab untuk kita bergantung kepada diri kita sendiri untuk bersatu padu.
“Kita harapkan kesatuan ini menjadi nyata dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang akan disertai oleh Malaysia. Kita harap Malaysia boleh bawa suara kesatuan ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Trump bukan punca keamanan untuk umat Islam – IKMAS UKM
Tambah Abdul Rahim, kesatuan itu penting untuk menepis bisa yang telah ditanam oleh Amerika Syarikat di Asia Barat dengan mewujudkan entiti asing iaitu negara haram Israel.
Jelasnya, negara haram itu wujud semata-mata untuk meluaskan hegemoni Amerika di rantau berkenaan dengan mencetuskan perbalahan antara negara-negara Arab.
“Israel ditanam ditengah-tengah jantung negara-negara Arab hanya untuk kuasa geopolitik Amerika Syarikat. Kalau tidak ditanam Israel disitu maka mereka tidak dapat timbulkan konflik di rantau itu.
“Dengan adanya Israel di tengah-tengah gelanggang negara Arab, mereka berjaya menyuntik satu bisa yang diharapkan dapat membolehkan Amerika Syarikat menguasai kawasan berkenaan yang mempunyai kepentingan ekonomi,” ujarnya.
Donald Trump menewaskan pencabarnya Kamala Harris dalam Pilihan Raya Presiden 2024, dan dijangka akan memulakan pentadbiran penggal keduanya pada Januari 2025 selepas mengangkat sumpah jawatan.
Dialog Tiga Penjuru: Trump 2.0, Apa Nasib Gaza?
#Amerika Syarikat #Gaza #Israel #Donald Trump
;